Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hadiah Perkahwinan Berisi Bom: Pembunuhan Terancang Kejam di Odisha


     Apa yang sepatutnya menjadi detik terindah dalam hidup pasangan pengantin baru bertukar menjadi mimpi ngeri apabila sebuah hadiah perkahwinan yang diterima beberapa hari selepas majlis berubah menjadi senjata maut. Kejadian menyayat hati yang berlaku di sebuah bandar kecil di Odisha, India ini melibatkan pasangan muda iaitu Soumya Sekhar Sahu dan Reema. Letupan dahsyat daripada sebuah bungkusan yang kelihatan tidak berbahaya itu telah mengorbankan dua nyawa dan meninggalkan seorang isteri dalam trauma yang mendalam. Lebih mengejutkan, kejadian ini bukanlah satu kemalangan tetapi satu pembunuhan yang dirancang dengan penuh dendam dan ketelitian. 

     Pada 18 Februari 2018, Soumya Sekhar Sahu dan Reema baru sahaja melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis yang penuh bahagia di kawasan perkampungan mereka di Patnagarh, sebuah bandar kecil di daerah Bolangir, Odisha. Lima hari selepas perkahwinan itu, satu bungkusan misteri yang tidak mempunyai nama pengirim sampai ke rumah mereka. Bungkusan itu dibalut rapi dan kelihatan seperti hadiah biasa daripada tetamu yang tidak sempat hadir ke majlis. Tanpa mengesyaki apa-apa, pasangan muda itu membuka bungkusan tersebut di hadapan ahli keluarga termasuk nenek Soumya yang berusia 85 tahun, Jemamani Sahu.


     Namun sebaik sahaja kotak itu dibuka, satu letupan kuat berlaku hingga kawasan sekitar. Soumya dan neneknya mengalami kecederaan parah akibat letupan tersebut. Mereka berdua disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat melecur teruk manakala Reema mengalami kecederaan serius dengan hampir 50% badannya melecur dan gegendang telinganya rosak. Letupan itu bukan berpunca daripada kemalangan biasa tetapi sebaliknya daripada bom buatan sendiri yang direka khusus untuk meledak apabila dibuka.

     Siasatan awal pihak polis menghadapi jalan buntu kerana bungkusan tersebut tidak mempunyai cap pos yang jelas, dan alamat penghantar juga palsu. Walau bagaimanapun, tekanan daripada media dan keluarga mangsa memaksa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara lebih menyeluruh. Selepas beberapa minggu, satu petunjuk penting muncul apabila sebuah surat tanpa nama dihantar kepada polis yang mencadangkan bahawa suspek mungkin seseorang yang pernah berdendam dengan keluarga Sahu. Polis kemudian mula meneliti rekod tulisan tangan dan jejak perjalanan individu yang rapat dengan keluarga tersebut.

Punjilal Meher

     Hasil siasatan mendalam akhirnya membawa kepada penahanan Punjilal Meher yang juga merupakan seorang guru dan bekas pengetua di kolej tempat ibu Soumya, Sanjukta Sahu bekerja. Meher sebelum ini memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah kolej tersebut tetapi namun jawatannya digantikan oleh Sanjukta. Pertukaran itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam mendalam dalam diri Meher. Polis mendapati bahawa Meher telah merancang pembunuhan itu dengan begitu teliti di mana dia mengasingkan diri daripada telefon bimbit untuk mengelak dikesan dan menyamar dengan identiti palsu untuk menghantar bungkusan berisi bom dari bandar Raipur ke rumah pengantin.

     Dia menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang dihasilkan daripada mercun dan bahan kimia lain serta meletakkannya dalam kotak hadiah perkahwinan yang dibalut rapi. Meher juga cuba mewujudkan alibi dengan mengajar kelas pada hari penghantaran bungkusan sebelum menaiki bas ke Raipur dan kembali semula ke Patnagarh sebelum sesi persekolahan berakhir. Namun analisis tulisan tangan, cap jari dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akhirnya mematahkan cubaan Meher untuk meloloskan diri daripada jenayah tersebut.


     Setelah perbicaraan yang panjang selama beberapa tahun, akhirnya pada 28 Mei 2025, Mahkamah Khas di Odisha menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Punjilal Meher. Dia didapati bersalah atas dua pertuduhan membunuh, satu cubaan membunuh serta penggunaan bahan letupan untuk melakukan serangan. Mahkamah menyatakan bahawa kes ini merupakan satu contoh jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan dengan niat dendambwalaupun ia tidak diklasifikasikan sebagai kes paling jarang berlaku yang membolehkan hukuman mati dijatuhkan menurut undang-undang India.

     Reema yang menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi itu telah menjalani rawatan rapi selama berminggu-minggu akibat kecederaan melecur dan trauma psikologi yang mendalam. Dalam satu wawancara beberapa tahun kemudian, dia menceritakan betapa peritnya pengalaman tersebut yakni dari kegembiraan sebagai pengantin baru kepada kehilangan suami dan nenek mentua hanya dalam beberapa hari. Reema bagaimanapun berjaya bangkit dari tragedi tersebutm Pada tahun 2024, dia dilaporkan telah berkahwin semula dan kini menetap di luar negara bersama keluarga baharunya. 

Catat Ulasan for "Hadiah Perkahwinan Berisi Bom: Pembunuhan Terancang Kejam di Odisha"