KISAH PEMBUNUHAN SALTANAT NUKENOVA

Pada 9 November 2023 bertempat di sebuah bilik tertutup dalam restoran mewah di Kazakhstan, seorang wanita muda sedang bergelut antara hidup dan mati. Dia diseret, dipukul, ditumbuk dan dicekik oleh suaminya sendiri yang juga merupakan seorang bekas menteri berpengaruh. Tiada siapa tampil menyelamatkan. Tiada siapa menghentikan keganasan itu selama hampir sembilan jam. Apabila ambulans akhirnya tiba, semuanya sudah terlambat. Wanita itu ialah Saltanat Nukenova dan kematiannya telah mencetuskan gelombang kemarahan rakyat, reformasi undang-undang dan kebangkitan gerakan wanita terbesar dalam sejarah moden Kazakhstan.
Saltanat berkahwin dengan Kuandyk Bishimbayev iaitu seorang bekas Menteri Ekonomi Kazakhstan yang pernah dipenjara kerana rasuah tetapi kemudian diberi pengampunan. Perkahwinan mereka pada awalnya mendapat perhatian kerana status politik dan kekayaan suaminya. Namun di sebalik kemewahan tersebut, tersembunyi penderitaan yang tidak diketahui ramai. Menurut beberapa sumber termasuk rakannya, Saltanat sering hadir di khalayak dengan lebam di wajah dan tanda-tanda kecederaan yang mencurigakan termasuk kesan jerutan di leher. Penderaan terhadapnya bukanlah sesuatu yang berlaku sekali dua malah dipercayai berlaku secara berulang sejak awal perkahwinan.

Kemuncak tragedi berlaku pada 9 November 2023 di sebuah restoran mewah di bandar Almaty. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar kemudian, Bishimbayev dilihat menyeret Saltanat dengan kasar ke dalam satu bilik khas restoran. Di dalam bilik itu, Saltanat dikatakan telah ditendang, ditumbuk dan dicekik oleh suaminya sendiri selama hampir sembilan jam. Tiada sebarang tindakan kecemasan diambil walaupun keadaannya dilaporkan semakin kritikal. Mangsa akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk kesan asfiksia (lemas) yang disahkan oleh laporan forensik dengan tanda-tanda pendarahan dalaman dan kecederaan leher akibat dicekik.
Kes pembunuhan ini menjadi tumpuan besar dalam kalangan rakyat Kazakhstan kerana ia membabitkan bekas menteri yang mempunyai latar belakang politik penting. Perbicaraan terhadap Bishimbayev bermula awal 2024 dan buat kali pertama dalam sejarah sistem kehakiman negara itu, sidang mahkamah disiarkan secara langsung kepada umum. Ribuan rakyat menonton secara dalam talian mengikuti setiap perincian kes daripada bukti forensik hingga kepada keterangan saksi.

Pada April 2024, Bishimbayev didapati bersalah atas pertuduhan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun. Seorang rakannya turut dipenjarakan kerana cubaan menutup kes dengan memanipulasi bahan bukti. Keputusan ini disambut dengan pelbagai reaksi di mana ada yang berpuas hati dengan ketegasan hukuman tetapi tidak kurang yang menganggap ia masih belum cukup berat bagi kes yang amat mengerikan itu. Kematian Saltanat mencetuskan protes dan solidariti yang besar dalam kalangan rakyat Kazakhstan khususnya golongan wanita.
Gerakan #ZaSaltanat yang bermaksud “Untuk Saltanat,” muncul sebagai simbol perjuangan wanita menentang keganasan domestik. Ribuan wanita memuat naik gambar mereka memegang gelas wain merah yang merujuk kepada dakwaan bahawa Saltanat kononnya memprovokasi suaminya dengan kelakuan tidak wajar semasa minum wain. Simbol ini menjadi penolakan jelas terhadap naratif menyalahkan mangsa yang sering digunakan untuk menutup jenayah lelaki terhadap wanita. Dalam tempoh singkat, gerakan ini menyebar luas bukan sahaja di Kazakhstan tetapi juga di negara-negara jiran bekas Kesatuan Soviet.

Kesan daripada tekanan awam yang amat besar ini, Presiden Kazakhstan iaitu Kassym-Jomart Tokayev pada 15 April 2024 telah menandatangani pindaan undang-undang penting berkaitan perlindungan wanita dan kanak-kanak. Undang-undang baharu ini menetapkan bahawa keganasan rumah tangga walaupun tanpa aduan rasmi daripada mangsa mesti disiasat dan boleh dikenakan tindakan jenayah. Hukuman juga diperberatkan untuk keganasan fizikal dan psikologi yang dianggap sebelum ini sebagai ringan. Walau bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch menyatakan bahawa undang-undang ini masih belum cukup tegas kerana tidak memperuntukkan jenayah keganasan rumah tangga sebagai kesalahan berdiri sendiri yang spesifik dalam kod jenayah negara.
Bagi memperingati Saltanat dan membantu mangsa keganasan lain, satu badan bukan kerajaan dinamakan Saltanat Nukenova Memorial Foundation telah ditubuhkan pada Mei 2024. Organisasi ini memberi sokongan psikologi dan perundangan kepada mangsa penderaan rumah tangga serta berperanan dalam pendidikan masyarakat. Beberapa tokoh terkenal turut menunjukkan solidariti mereka. Komposer terkenal Rusia, Maxim Fadeev menggubah lagu khas bertajuk Salta bagi mengenang Saltanat.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN SALTANAT NUKENOVA"