Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN JOEL D. METZ YANG MENGERIKAN

     Pada 2 Julai 2014 bertempat di negara Amerika Syarikat, satu kejadian ngeri telah berlaku yang meragut nyawa seorang pemuda bernama Joel D. Metz yang berusia 28 tahun dari Avon, Indiana. Joel bekerja sebagai seorang tower climber iaitu pemanjat menara komunikasi, sebuah pekerjaan yang dianggap antara yang paling berbahaya di dunia moden kerana melibatkan ketinggian ratusan kaki serta risiko maut yang tinggi. Pada hari kejadian, Joel sedang menjalankan tugas bersama tiga orang rakan sekerja untuk memasang antena pada sebuah menara selular milik syarikat telekomunikasi Verizon.

     Ketika mereka sedang bekerja di atas menara tersebut, suasana tiba-tiba bertukar panik apabila kedengaran bunyi letupan kecil seperti pop. Bunyi itu datang daripada kabel penarik (winch), alat penarik yang digunakan untuk mengangkat peralatan berat ke atas menara tiba-tiba putus. Menerusi kekuatan tarikan dan kelajuan tinggi, kabel berkenaan terpelanting ke arah Joel yang ketika itu masih terikat pada tali keselamatan. Dalam sekelip mata, kejadian mengerikan berlaku di mana kabel yang melibas dengan laju itu mengenai tubuhnya hingga menyebabkan kepalanya terputus dari badan serta lengan kanannya turut terpisah. Joel meninggal dunia di tempat kejadian tanpa sempat diberi sebarang bantuan.

     Situasi menjadi lebih memilukan kerana tubuh Joel masih terikat pada abah-abah keselamatan (safety harness) di menara tersebut. Mayatnya tergantung pada ketinggian menara itu selama hampir lapan jam sebelum pasukan penyelamat berjaya menurunkannya. Keadaan ini menambah trauma kepada rakan sekerja yang menyaksikan kejadian selain menggambarkan betapa sukarnya operasi menyelamat apabila kejadian berlaku di lokasi setinggi dan seberbahaya itu.

     Joel meninggalkan seorang tunang serta tiga orang anak lelaki yang masing-masing masih kecil yakni berusia sekitar 5, 7 dan 8 tahun pada ketika kejadian. Kehilangannya memberi kesan yang amat mendalam kepada keluarganya terutama kerana Joel dikenali sebagai seorang bapa yang penyayang dan rajin bekerja demi menyara kehidupan mereka.

     Selepas kejadian ini, siasatan segera dilakukan oleh pihak OSHA (Occupational Safety and Health Administration) iaitu badan yang bertanggungjawab memantau keselamatan pekerjaan di Amerika Syarikat. Hasil siasatan mendapati bahawa syarikat tempat Joel bekerja iaitu Fortune Wireless telah melakukan tiga pelanggaran serius dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Antara pelanggaran yang direkodkan termasuklah kegagalan menyediakan peralatan yang benar-benar selamat serta kelemahan dalam memastikan prosedur keselamatan dipatuhi. Syarikat itu akhirnya dikenakan denda sebanyak USD 14 700, satu jumlah yang dianggap kecil berbanding harga sebuah nyawa serta penderitaan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

     Statistik pada tahun 2014 menunjukkan bahawa sebanyak 15 orang pekerja menara maut di seluruh Amerika Syarikat, meningkat daripada 13 kematian pada tahun sebelumnya. Angka itu kelihatan kecil namun jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pekerja menara yang dianggarkan hanya sekitar 10 000 orang, kadar kematian mereka adalah 42 kali ganda lebih tinggi daripada kadar kematian purata pekerja Amerika Syarikat dalam sektor lain.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN JOEL D. METZ YANG MENGERIKAN "