KISAH ANURADHA PASWAN : Wanita yang Kahwin Dengan 25 Orang Lelaki

     Anuradha Paswan merupakan seorang wanita muda berusia sekitar 23 tahun dari daerah Maharajganj, negeri Uttar Pradesh, India. Dia menjadi perhatian media pada pertengahan tahun 2025 selepas dirinya terbongkar sebagai suspek dalam satu kes penipuan perkahwinan yang melibatkan puluhan lelaki. Sebelum terlibat dalam aktiviti jenayah ini, Anuradha dikatakan pernah bekerja di sebuah hospital tempatan dan telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Vishal Kumar Paswan. Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua orang anak. Perkahwinan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama disebabkan masalah rumah tangga sekali gus menyebabkan Anuradha berhijrah ke bandar lain seperti Bhopal di negeri Madhya Pradesh. Di bandar inilah dia dipercayai mula menyertai atau bekerjasama dengan sindiket penipuan perkahwinan yang melibatkan egen atau dalal di mana mereka membantu memasarkan profil pengantin kepada lelaki yang mahukan perkahwinan segera.

     Modus operandi yang digunakan oleh Anuradha dan rangkaiannya sangat sistematik. Dia akan diperkenalkan kepada bakal pengantin lelaki melalui ejen atau dalal yang menjanjikan perkahwinan dengan wanita yang sukar ditemui tetapi berpenampilan menarik dan patuh kepada keluarga. Calon pengantin lelaki atau keluarganya dikehendaki membayar sejumlah wang yang besar, antara ₹2 lakh hingga ₹5 lakh (sekitar RM11 000 hingga RM27 000) untuk menguruskan segala persiapan perkahwinan. Setelah akad nikah dilakukan yakni sama ada secara formal di mahkamah atau mengikut adat,  Anuradha tinggal bersama pengantin lelaki dan keluarganya hanya untuk tempoh yang singkat dengan kadangkala hanya 12 hingga 15 hari. Selepas itu, dia akan melarikan diri bersama barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit sekali gus meninggalkan mangsa dalam keadaan kerugian besar. 

     Dalam salah satu kes yang terkenal, seorang lelaki bernama Vishnu Sharma dari Sawai Madhopur membayar sekitar ₹2 lakh untuk berkahwin dengan Anuradha pada April 2025. Namun pada 13 hari kemudia, dia melarikan diri bersama barang kemas dan telefon bimbit. Bagi mengaburi pihak berkuasa, Anuradha juga menggunakan identiti baru dan berpindah ke bandar lain agar sukar dikesan. Beberapa laporan mendakwa bahawa salah seorang bekas suaminya turut terlibat secara tidak langsung dengan menyamar sebagai abangnya untuk memudahkan skim penipuan ini.

     Sepanjang tempoh kira-kira tujuh bulan, Anuradha dan rangkaian itu dipercayai telah menjalankan sekitar 25 perkahwinan palsu merentasi negeri Uttar Pradesh, Rajasthan dan Madhya Pradesh. Kes ini mula terbongkar selepas mangsa-mangsa membuat laporan kepada pihak polis termasuk laporan Vishnu Sharma pada awal Mei 2025. Polis kemudiannya merancang operasi umpan iaitu  seorang anggota polis menyamar sebagai bakal pengantin lelaki untuk menjejaki Anuradha dan rangkaiannya. Operasi ini berjaya dan Anuradha ditangkap di Bhopal sebelum dibawa ke Rajasthan untuk siasatan lanjut. Siasatan juga mendedahkan bahawa sindiket ini melibatkan beberapa penggerak lain yang membantu dari segi menyediakan dokumen palsu, profil pengantin dan menguruskan pengeluaran selepas larian Anuradha. Hingga setakat ini, Anuradha masih ditahan oleh pihak polis sementara siasatan lengkap dijalankan manakala usaha berterusan sedang dilakukan untuk menjejaki semua individu yang terlibat dalam rangkaian penipuan ini dan memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.

Catat Ulasan for "KISAH ANURADHA PASWAN : Wanita yang Kahwin Dengan 25 Orang Lelaki"