Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hukuman Mati Menanti, Tyler Robinson Hadapi Prosiding Pra-Perbicaraan Pertama.


     AMERIKA SYARIKAT — Tyler Robinson, lelaki berusia 22 tahun yang dituduh membunuh aktivis konservatif terkenal, Charlie Kirk tampil buat kali pertama secara fizikal di hadapan mahkamah di Utah dalam satu prosiding yang menarik perhatian media dan orang awam.

     Pada 11 Disember 2025 di Mahkamah Daerah Keempat, Provo, Robinson dibawa ke dewan mahkamah di bawah kawalan keselamatan rapi dan penahanan fizikal. Dia berada dalam tahanan sejak penangkapannya berikutan insiden tembakan yang meragut nyawa Charlie Kirk pada 10 September 2025 di Universiti Utah Valley.

     Robinson yang menghadapi lebih tujuh pertuduhan jenayah berat termasuk pembunuhan terancang serta beberapa tuduhan lain seperti menghalang keadilan dan mempengaruhi saksi, berjalan memasuki dewan mahkamah dengan memakai kemeja, tali leher dengan seluar pejabat setelah mendapat kelulusan hakim bahawa dia boleh berpakaian seperti orang awam dalam prosiding sebelum perbicaraan penuh.


    Prosiding itu dipengerusikan oleh Hakim Tony Graf yang memberi perhatian khusus kepada isu akses media dan ketelusan prosiding mahkamah. Peguam pembela Robinson memohon agar kamera dan rakaman media tidak dibenarkan sepenuhnya dalam beberapa sesi tertentu bagi melindungi hak defendan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Mereka berhujah bahawa liputan meluas boleh mempengaruhi calon juri di masa hadapan.

     Pihak media serta wakil keluarga mangsa menuntut agar akses rakaman dan laporan penuh dibenarkan bagi memastikan ketelusan dalam kes yang kini menjadi perhatian dunia. Hakim Graf menetapkan satu sesi prosiding melalui pautan video pada 29 Disember 2025 untuk menentukan tahap akses media yang akan dibenarkan manakala sesi pra-perbicaraan fizikal dijadualkan berlangsung pada Mei 2026.

     Semasa dibawa ke mahkamah, Robinson dilihat berbual ringkas dan kadangkala tersenyum ketika bercakap dengan peguamnya manakala ibunya menitiskan air mata ketika menyaksikan kehadirannya di dewan mahkamah. Kedua ibu bapa dan seorang adik lelakinya turut hadir menunjukkan sokongan keluarga di tengah tekanan awam.


     Kes ini berpunca daripada kejadian tembakan pada pertengahan hari 10 September yakni ketika Charlie Kirk sedang berucap di sebuah acara yang dihadiri ribuan orang. Kirk mengalami kecederaan parah akibat peluru dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. FBI dan pihak berkuasa tempatan melancarkan siasatan menyeluruh. Robinson ditahan dua hari kemudian selepas dikenal pasti melalui rakaman video dan bukti lain.

     Pendakwa raya Utah sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan menuntut hukuman mati terhadap Robinson sekiranya dibuktikan bersalah atas pertuduhan pembunuhan terancang. Prosiding lanjut dijangka akan memberi fokus kepada bukti, hujah kedua pihak serta isu-isu undang-undang seperti penentuan bukti yang diterima daripada rakaman terdahulu dan sejauh mana media dibenarkan melaporkan prosiding.

Catat Ulasan for "Hukuman Mati Menanti, Tyler Robinson Hadapi Prosiding Pra-Perbicaraan Pertama."