Beriani Beracun: Isteri Tergamak Bunuh Suami Demi Kekasih


     INDIA – Satu kejadian pembunuhan kejam yang didorong oleh hubungan sulit berlaku di daerah Guntur, Andhra Pradesh. Seorang wanita yang dikenali sebagai Lakshmi Madhuri dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis selepas didapati bersekongkol dengan kekasih gelapnya untuk membunuh suaminya sendiri menggunakan taktik kotor dalam hidangan beriani.

     Kejadian yang berlaku pada malam 19 Januari 2026 itu bermula apabila mangsa iaitu Lokam Shiva Nagaraju iaitu seorang pedagang bawang ditemui meninggal dunia di kediamannya. Pada awalnya, Lakshmi cuba mengaburi mata pihak berkuasa dan ahli keluarga dengan mendakwa suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung mengejut ketika sedang tidur. Namun sikap tenang yang luar biasa dan percanggahan dalam ceritanya menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli keluarga mangsa.

     Hasil siasatan awal polis mendedahkan bahawa Lakshmi telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki bernama Gopi. Pasangan kekasih ini dipercayai merancang pembunuhan tersebut agar mereka dapat hidup bersama tanpa gangguan mangsa. Menurut k beenyataan polis, pada malam kejadian, Lakshmi telah menyediakan hidangan beriani untuk makan malam suaminya. Tanpa disedari mangsa, wanita tersebut telah mencampurkan dos ubat tidur yang tinggi ke dalam hidangan tersebut. Sejurus selepas mangsa jatuh pengsan akibat kesan ubat berkenaan, Lakshmi telah menghubungi Gopi untuk datang ke rumah mereka bagi melunaskan rancangan jahat mereka.


     Laporan bedah siasat mendedahkan fakta yang lebih mengerikan. Mangsa bukan sahaja diracun malah terdapat kesan kecederaan fizikal yang menunjukkan mangsa telah dicekik sehingga mati serta mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk. Ini membuktikan bahawa mangsa telah diserang secara fizikal dalam keadaan tidak sedarkan diri.

     Apa yang paling mengejutkan pihak berkuasa adalah tindakan Lakshmi sejurus selepas suaminya disahkan meninggal dunia. Berdasarkan bukti digital daripada telefon bimbitnya, suspek didapati tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan. Dia sebaliknnya dilaporkan duduk di sebelah mayat suaminya sepanjang malam sambil menonton klip video lucah di telefon pintarnya sehingga waktu subuh sebelum mula berlakon sedih di hadapan jiran tetangga.

     Pihak Polis Guntur telah menahan kedua-dua suspek, Lakshmi Madhuri dan Gopi di bawah beberapa seksyen Kanun Keseksaan India, termasuk Seksyen 302 (Pembunuhan) dan Seksyen 120B (Konspirasi Jenayah). Pihak pendakwaan kini sedang melengkapkan kertas siasatan dengan bukti forensik dan keterangan saksi untuk memastikan hukuman setimpal dijatuhkan ke atas kedua-dua tertuduh.

Catat Ulasan for "Beriani Beracun: Isteri Tergamak Bunuh Suami Demi Kekasih"