Padah Cuba 'Berselfie' dengan Harimau Bintang Salji, Pelancong Nyaris Maut Diterkam

CHINA – Keghairahan seorang pelancong wanita untuk merakam gambar jarak dekat seekor harimau bintang salji hampir meragut nyawanya dalam satu kejadian ngeri yang berlaku di wilayah pergunungan Xinjiang, barat laut China baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku pada petang Jumaat, 23 Januari 2026 itu melibatkan seorang pemain ski yang sedang dalam perjalanan pulang ke penginapannya di Pekan Koktokay, Wilayah Fuyun. Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, mangsa yang ternampak kelibat pemangsa tersebut di bahu jalan bertindak luar kawalan dengan menghentikan kenderaannya untuk menghampiri haiwan itu bagi tujuan fotografi.
Saksi di tempat kejadian menyatakan bahawa mangsa tetap berdegil untuk mendekati harimau tersebut sehingga jarak kira-kira tiga meter walaupun telah diberi amaran keras oleh rakan-rakannya yang berada di dalam kereta. Harimau bintang salji itu yang biasanya dikenali sebagai hantu gunung kerana sifatnya yang pemalubtiba-tiba bertindak agresif lalu menerkam ke arah muka mangsa.
Gigitan kuat haiwan tersebut mengenai bahagian kepala dan muka pelancong berkenaan. Walau bagaimanapun, pakar perubatan mengesahkan bahawa topi keledar ski yang dipakai mangsa telah bertindak sebagai pelindung utama menghalang taring haiwan tersebut daripada menembusi tengkoraknya secara terus. Mangsa segera dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kecemasan.

Serangan ini dianggap sebagai kes yang sangat terpencil memandangkan harimau bintang salji jarang sekali berinteraksi dengan manusia. Pakar hidupan liar dari Akademi Sains China (CAS) berpendapat bahawa musim sejuk yang ekstrem dan timbunan salji tebal tahun ini mungkin telah memaksa haiwan tersebut turun ke kawasan lebih rendah untuk mencari sumber makanan.
Spekulasi ini diperkukuhkan lagi apabila pihak berkuasa mendedahkan bahawa seekor harimau bintang salji yang dipercayai haiwan yang sama telah menyerang dan membunuh sekurang-kurangnya 35 ekor biri-biri milik penduduk kampung di kawasan berhampiran hanya beberapa hari selepas serangan terhadap pelancong tersebut berlaku.
Susulan ancaman berterusan terhadap keselamatan awam dan ternakan, satu operasi pencarian besar-besaran telah dilancarkan. Pada 29 Januari, pasukan renjer hutan berjaya menangkap haiwan tersebut menggunakan ubat pelali. Harimau itu kini diletakkan di bawah pengawasan veterinar untuk penilaian kesihatan sebelum dirancang untuk dilepaskan semula ke kawasan pergunungan yang lebih jauh daripada penempatan manusia.
Pihak pentadbiran Xinjiang telah mengeluarkan amaran keras kepada semua pelancong supaya menghormati habitat hidupan liar dan tidak sesekali cuba mendekati haiwan pemangsa demi kepentingan kandungan media sosial.
Catat Ulasan for "Padah Cuba 'Berselfie' dengan Harimau Bintang Salji, Pelancong Nyaris Maut Diterkam"