KISAH PERJUANGAN SEORANG KAKAK YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

      Segalanya bermula pada 22 Disember 1992 di sebuah ladang tebu di wilayah Guangdong. Seorang lelaki bernama Chen Zhenchin telah dipecat oleh majikannya yang bernama Li Zhongxiang kerana sikapnya yang malas dan tidak amanah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Chen bertindak nekad menculik anak bongsu majikannya iaitu Fan Ping yang ketika itu baru berusia 9 tahun. Chen meninggalkan pesanan berbaur ancaman bahawa Li Zhongxiang akan menyesal atas tindakannya. Sejak hari itu, Fan Ping hilang tanpa dikesan hingga meninggalkan luka yang amat dalam buat keluarga Li.

​      Anak sulung keluarga itu, Li Hua tidak dapat menerima hakikat kehilangan adik lelakinya. Didorong oleh budaya tradisional China yang meletakkan tanggungjawab besar kepada anak perempuan sulung untuk melindungi adik-adiknya, Li Hua bersumpah untuk mencari Fan Ping walau ke lubang cacing sekalipun. Selama 27 tahun, dia mengembara ke pelbagai wilayah seperti Yunnan, Guizhou dan Sichuan. Dia hidup merantau, bekerja sebagai pembasuh pinggan dan buruh kilang bahkan pernah hampir menjadi mangsa pemerdagangan manusia sebanyak dua kali ketika cuba menjejaki suspek.

     Pada tahun 2015, Li Hua menerima maklumat daripada nota peninggalan bapanya sebelum meninggal dunia yang membawa dia ke kampung halaman Chen Zhenchin di Hunan. Di sana, dia menemui seorang lelaki yang mempunyai ciri fizikal yang sama dengan penculik adiknya namun menggunakan identiti palsu sebagai Li Junhua. Bagi memerangkap lelaki tersebut, Li Hua melakukan tindakan yang sangat berisiko di mana dia berpura-pura jatuh cinta dengan Chen. Selama tiga tahun, dia melayan perbualan telefon dan mesej romantis daripada lelaki itu. Malah apabila Chen mencabarnya untuk membuktikan cinta dengan menghantar gambar bogel, Li Hua sanggup melakukannya demi memastikan lelaki itu terus dalam genggamannya dan tidak melarikan diri sebelum bukti kukuh dikumpul.


     Selepas mengumpulkan bukti rakaman suara dan pengakuan melalui penyamarannya, Li Hua akhirnya membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan Chen pada tahun 2020. Namun kejayaan itu diakhiri dengan berita yang menghancurkan hatinya. Chen mengaku bahawa dia sebenarnya telah membunuh Fan Ping sejurus selepas penculikan berlaku 28 tahun yang lalu. Lebih memilukan, Li Hua mendapat tahu bahawa mendiang bapanya sebenarnya sudah menemui mayat Fan Ping pada tahun 1992 namun merahsiakannya daripada keluarga kerana bimbang isterinya akan menjadi gila akibat kesedihan yang melampau.


     Walaupun Chen sudah mengaku, kes ini menghadapi kesukaran di mahkamah kerana fail siasatan asal tahun 1990-an telah hilang. Walau bagaimanapun, Li Hua tidak menyerah kalah. Dia tampil di mahkamah dengan imej kepala botak sebagai tanda protes dan sumpah bahawa dia tidak akan membiarkan rambutnya tumbuh selagi pembunuh adiknya tidak dihukum mati. Akhirnya pada Disember 2025, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun terhadap Chen Zhenchin. Walaupun hukuman itu mungkin diringankan kepada penjara seumur hidup, Li Hua berasa misinya telah selesai untuk menegakkan keadilan buat adik dan ibu bapanya yang telah tiada.


Catat Ulasan for "KISAH PERJUANGAN SEORANG KAKAK YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "