Kisah Terumi Morishima: Rakan Sebilik dari Neraka


     Kes ini bermula pada malam Krismas tahun 2015 di Osaka, Jepun apabila seorang bapa berasa cemas selepas gagal menghubungi anak perempuannya iaitu Sawako Watanabe yang berusia 29 tahun. Sawako, seorang pekerja kedai bunga yang dikenali sebagai individu bertanggungjawab sepatutnya pulang ke rumah untuk meraikan perayaan tersebut. Dia bagaimanapun tidak muncul seperti dijanjikan. Kebimbangan keluarga bertambah apabila rakan-rakan Sawako turut mengesahkan bahawa mereka tidak dapat menghubunginya sejak 24 Disember, hari yang dirancang untuk sambutan Krismas di rumah bekas rakan sebiliknya. Susulan itu, satu laporan polis segera dibuat.

     Siasatan awal pihak polis membawa mereka kepada Terumi Morishima, rakan sebilik Sawako di sebuah rumah kongsi di Bandar Kadoma. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Sawako memasuki lif menuju ke tingkat tiga apartmen Terumi pada jam 7.00 malam, 24 Disember sekali gus menjadikannya orang terakhir yang dilihat bersama mangsa. Ketika disoal siasat, Terumi memberikan penjelasan yang meragukan dengan mendakwa bahawa Sawako telah keluar untuk bertemu bekas teman lelakinya dan turut memintanya mengeluarkan wang daripada akaun bank miliknya.

     Kecurigaan polis semakin memuncak apabila siasatan mendapati Terumi telah membeli beberapa barangan yang mencurigakan seperti tiga liter asid hidroklorik, gergaji lipat, papan pemotong serta sebuah peti sejuk kecil. 

     Pada 29 Disember 2015, pihak polis melakukan serbuan ke atas apartmen Terumi lalu menemui satu pemandangan yang amat mengerikan. Sisa rangka manusia yang telah dilarutkan dalam asid ditemui di dalam tab mandi manakala bahagian tubuh badan yang dikerat-kerat disimpan di dalam peti sejuk dan kabinet dapur. Keadaan mayat yang terlalu hancur menyebabkan proses pengecaman hanya dapat dilakukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

     Siasatan lanjut mendedahkan bahawa motif pembunuhan ini berkait rapat dengan masalah kewangan dan pencurian identiti. Terumi didapati telah mencuri lesen memandu Sawako dan menggunakannya untuk membuat pinjaman daripada lintah darat sebanyak 11 kali. Dia juga mengeluarkan wang simpanan mangsa dengan menyamar sebagai Sawako yakni lengkap dengan penggunaan bulu mata palsu dan solekan tebal. Apabila jumlah hutang tersebut mencecah had maksimum sebanyak 2.2 juta yen, Terumi merancang untuk membunuh Sawako bagi menghapuskan bukti penipuan serta melepaskan diri daripada tanggungan hutang.

     Pembunuhan tersebut dilakukan secara terancang apabila Terumi memberikan ubat tidur kepada mangsa sebelum mencekiknya hingga mati. Selepas kejadian, dia menghantar mesej teks palsu daripada telefon Sawako kepada ahli keluarga mangsa bagi melengahkan penemuan kehilangan sebenar. Dalam tempoh beberapa hari, Terumi mengerat tubuh mangsa secara sistematik. Dia menggunakan mesin pelupusan sisa makanan serta periuk tekanan untuk menghancurkan daging dan organ dalaman dengan tujuan memudahkan proses pelupusan tanpa menimbulkan kecurigaan jiran.

     Di mahkamah, Terumi cuba meraih simpati dengan menceritakan latar belakang hidupnya yang dipenuhi penderaan fizikal dan seksual semasa kecil selain mendakwa bahawa dia hanya menemui Sawako dalam keadaan sudah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya membuktikan perancangannya apabila rekod carian internet Terumi menunjukkan pencarian frasa seperti cara melakukan pembunuhan sempurna dan cara mengerat tubuh manusia sebelum kejadian berlaku. Akhirnya, pada 30 Jun 2017, Terumi Morishima dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah memutuskan bahawa jenayah tersebut dilakukan dengan kekejaman melampau serta tanpa sebarang rasa kesal terhadap keluarga mangsa.

Catat Ulasan for "Kisah Terumi Morishima: Rakan Sebilik dari Neraka"