Kisah Bi Limei: Wanita Cantik yang 'Hidup Semula' Selepas Dihukum Mati


      Bi Limei dilaporkan dilahirkan pada tahun 1983 di sebuah kawasan kecil di Fangzheng County, Heilongjiang, China dalam sebuah keluarga kelas pekerja yang menjalani kehidupan sederhana. Keluarganya bukan daripada golongan berada. Disebabkan itu, kedua-dua ibu bapanya terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan seharian. Keadaan ini menyebabkan mereka sering tiada di rumah sekali gus mengurangkan perhatian terhadap pendidikan dan perkembangan Bi Limei sejak kecil. Situasi tersebut dikatakan memberi kesan terhadap pembentukan nilai diri dan sikapnya apabila meningkat usia remaja.

      Walaupun memiliki rupa paras yang manis dan sering menarik perhatian rakan lelaki sekelas, prestasi akademik Bi Limei tidak menonjol. Minatnya terhadap pembelajaran juga semakin merosot selepas beberapa tahun berada di alam persekolahan. Selepas meninggalkan sekolah menengah atas secara rasmi, ibu bapa Bi Limei mengambil keputusan untuk menghantarnya mempelajari kemahiran praktikal iaitu mengikuti kursus kecantikan dan dandanan rambut di sebuah sekolah vokasional di bandar berdekatan. Bi Limei menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Selepas menamatkan latihan, dia kembali ke kampung halamannya lalu membuka sebuah salon kecantikan sendiri. Salon itu berkembang dengan pesat hasil gabungan kemahirannya serta penampilan diri yang menarik. Dalam tempoh singkat, salon tersebut menjadi tumpuan ramai lelaki di kawasan berkenaan bukan sahaja sebagai pelanggan bahkan juga sebagai individu yang cuba mendekatinya dan melamar dirinya.


     Dalam suasana perniagaan yang semakin maju, Bi Limei mula membina reputasi sebagai seorang wanita yang pandai menjaga penampilan dan memiliki kemahiran sosial yang baik. Ramai lelaki muda datang ke salon tersebut. Di sinilah bermulanya hubungan yang akhirnya membawa kepada satu naratif tragik yakni melibatkan seorang lelaki bernama Jiang Enli atau Jiang Laiyi menurut beberapa laporan. Jiang dilaporkan sebagai seorang lulusan universiti yang telah bekerja. Kehidupannya bagaimanapun tidaklah semewah seperti yang disangka Bi Limei pada peringkat awal perkenalan mereka. Hubungan mereka bermula sebagai persahabatan rapat sebelum bertukar menjadi hubungan cinta.

     Seiring perkembangan hubungan tersebut, Bi Limei dikatakan mula berasa kecewa apabila menyedari bahawa Jiang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh seperti yang digambarkan sebelum ini. Pada masa yang sama, seorang lelaki lain yang lebih berada muncul dalam hidupnya dan berjaya menarik perhatiannya. Menurut laporan, walaupun kisah ini mempunyai pelbagai versi, Bi Limei akhirnya memilih lelaki tersebut dan berhasrat untuk menamatkan hubungannya dengan Jiang. Walau bagaimanapun, Jiang enggan berpisah tanpa menuntut kembali wang yang pernah dibelanjakannya untuk Bi Limei. Sebelum ini, dia dikatakan menyokong gaya hidup Bi Limei dan kini menuntut wang tersebut sebagai satu bentuk balasan cinta. Tuntutan ini dikatakan membebankan fikiran Bi Limei hingga mendorongnya ke arah tindakan yang lebih ekstrem.

     Dalam versi naratif yang banyak tersebar di laman web, Bi Limei didakwa merancang pembunuhan terhadap Jiang. Dia dikatakan membeli racun tikus dan mencampurkannya ke dalam sebotol minuman Coca-Colanyang kemudian diberikan kepada Jiang ketika mereka berada di kawasan pergunungan. Jiang yang menganggap pertemuan itu sebagai satu ajakan keluar biasa telah meminum minuman tersebut tanpa sebarang syak wasangka. Tidak lama kemudian, dia mengalami kesakitan perut yang teruk. Menurut laporan, Jiang akhirnya meninggal dunia akibat kesan racun berkenaan. Terdapat juga versi yang menyatakan bahawa selepas kejadian itu, Bi Limei mengambil barangan milik Jiang sebelum menolak mayatnya ke tebing bukit bagi menghilangkan jejak jenayah.


     Selepas penemuan mayat dan siasatan dijalankan, pihak polis menahan Bi Limei. Dia didakwa di mahkamah atas tuduhan pembunuhan dengan sengaja dan kecurian sebelum akhirnya dijatuhi hukuman mati. Keputusan mahkamah tersebut menimbulkan reaksi keras daripada keluarga Jiang yang berasa hukuman berkenaan adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

     Bahagian kisah ini yang paling kerap menjadi tajuk sensasi ialah dakwaan bahawa Bi Limei telah ditembak mati semasa pelaksanaan hukuman mati namun dikatakan hidup semula ketika tubuhnya sedang disiapkan untuk proses pembakaran. Dalam beberapa versi cerita, tembakan pertama didakwa tidak mengenai bahagian otak yang menyebabkan kematian serta-merta lalu tubuhnya masih menunjukkan tanda-tanda masih hidup ketika berada di rumah pengebumian. Keadaan itu mencetuskan kekecohan besar. Susulan kejadian tersebut, pihak berkuasa dikatakan melepaskan tembakan kedua bagi memastikan hukuman mati dilaksanakan sepenuhnya. Sejak itu, kisah yang sering digambarkan sebagai wanita cantik yang kembali hidup selepas pelaksanaan hukuman mati terus tersebar luas di internet dalam pelbagai versi sensasi.

Catat Ulasan for "Kisah Bi Limei: Wanita Cantik yang 'Hidup Semula' Selepas Dihukum Mati"