Kisah Shane Goldsby: Lelaki yang Bunuh Perogol Adiknya


      Pada 2 Jun 2020, satu kejadian telah berlaku di Airway Heights Corrections Center, sebuah pusat tahanan di Spokane County, Washington, Amerika Syarikat. Kejadian ini melibatkan unsur emosi dan konflik peribadi yang sangat mendalam. Shane Goldsby, seorang banduan berusia sekitar 26 tahun didapati telah menyerang dan membunuh rakan selnya iaitu Robert Munger, seorang lelaki berusia 70 tahun yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

     Pada waktu kejadian, Goldsby sendiri sedang menjalani hukuman penjara atas beberapa kesalahan jenayah serius seperti mencuri kenderaan polis, melarikan diri daripada pihak berkuasa serta mencederakan seorang anggota polis selepas melanggar kenderaan peronda semasa cubaan melarikan diri.

     Pada peringkat awal, kedua-dua lelaki tersebut ditempatkan sebagai rakan sel tanpa pengetahuan pihak penjara mengenai sebarang sejarah hubungan peribadi antara mereka. Namun keadaan mula berubah apabila Goldsby berbual dengan Munger di dalam sel. Goldsby menjadi semakin gelisah selepas Munger mula menceritakan secara terperinci tentang jenayah yang pernah dilakukannya termasuk bagaimana dia menyerang mangsa-mangsanya yang terdiri daripada kanak-kanak serta butiran berkaitan kes tersebut.


     Situasi bagaimanapun menjadi lebih peribadi dan traumatik apabila Goldsby menyedari bahawa salah seorang mangsa Munger ialah adik perempuannya sendiri yang ketika kejadian jenayah itu masih di bawah umur. Selepas mengetahui perkara tersebut, Goldsby dilaporkan telah beberapa kali merayu kepada pegawai penjara agar dipindahkan ke sel lain. Walau bagaimanapun, permintaan itu tidak dipenuhi. Dia juga dikatakan cuba menggunakan butang panggilan kecemasan di dalam sel untuk mendapatkan perhatian pegawai tetapi tiada tindakan segera diambil pada ketika itu.

     Tekanan emosi dan rasa marah yang dialami Goldsby akhirnya memuncak. Pada suatu ketika di kawasan umum dalam pusat tahanan berkenaan, dia menyerang Munger secara ganas. Berdasarkan dokumen mahkamah dan rakaman video, Goldsby telah menumbuk muka serta kepala Munger kira-kira 14 kali sebelum menendang kepala lelaki itu berulang kali sehingga mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah. Munger kemudiannya dilaporkan meninggal dunia beberapa hari kemudian di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.


     Prosiding mahkamah terhadap Goldsby berlangsung pada Ogos 2021 di mana dia mengaku bersalah atas pertuduhan pembunuhan darjah kedua. Semasa sesi pendengaran, Goldsby cuba membaca kenyataan permohonan maafnya tetapi gagal meneruskannya kerana terlalu beremosi lalu kenyataan tersebut disempurnakan oleh peguam belanya. Dalam kenyataan itu, Goldsby menyatakan rasa kesal terhadap perbuatannya memohon maaf kepada keluarga Munger serta mengakui bahawa dia telah ditempatkan dalam situasi yang amat sukar dan rumit dari segi emosi.

     Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tambahan selama hampir 298 bulan yakni bersamaan kira-kira 24.8 tahun ke atas Goldsby bagi kes pembunuhan tersebut yang akan dijalankan selepas tamat hukuman asalnya. Selain itu, Goldsby turut diarahkan oleh mahkamah untuk membayar pampasan kepada keluarga Munger dengan jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Catat Ulasan for "Kisah Shane Goldsby: Lelaki yang Bunuh Perogol Adiknya"