KISAH MISTERI KEMATIAN CHALINO SANCHEZ


     Chalino Sanchez merupakan salah seorang penyanyi yang paling terkenal dalam genre corrido dan narcocorrido di Mexico. Kehidupannya yang tragis dan kematiannya yang misteri menjadikan namanya legenda dalam dunia muzik Mexico. Chalino dianggap sebagai suara jalanan yang menceritakan kisah kehidupan tentang keganasan, dendam dan perjuangan. 

     Chalino dilahirkan pada 30 Ogos 1960 di sebuah kampung kecil di negeri Sinaloa, Mexico iaitu sebuah kawasan yang terkenal dengan muzik corrido selain dikenali dengan keganasan berkaitan jenayah terancang. Sejak kecil, Chalino hidup dalam keluarga miskin dan terdedah kepada realiti keras kehidupan kampung. Kehilangan dan tragedi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Abang kandungnya dibunuh dalam konflik tempatan yakni peristiwa yang kemudian memberi kesan mendalam terhadap dirinya. Chalino sendiri dipercayai membalas dendam dengan membunuh lelaki yang bertanggungjawab ke atas kematian abangnya. Disebabkan itu, Chalino terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mengelak tindakan undang-undang dan pembalasan.



     Di Amerika Syarikat terutama di Los Angeles, Chalino menjalani kehidupan sukar sebagai pendatang tanpa izin. Dia bekerja keras dalam pelbagai pekerjaan buruh kasar untuk menyara hidup. Pada masa yang sama, dia mula menulis lagu berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri dan kisah jenayah yang berlaku di sekelilingnya. Chalino tidak mendapat latihan formal dalam muzik dan tidak memulakan karier melalui syarikat rakaman besar. Dia merakam lagu secara kaset murah dan menjualnya secara terus kepada komuniti Mexico-Amerika. Lagu-lagunya tersebar dengan cepat kerana liriknya jujur, mentah dan berani menceritakan kisah sebenar yang ramai orang takut untuk sebut. Dalam budaya narcocorrido, lirik lagu boleh dianggap sebagai penghormatan atau penghinaan. Menyebut nama seseorang tanpa izin atau menceritakan kisah sensitif boleh mengundang akibat yang serius.

     Chalino semakin dikenali apabila lagu-lagunya dimainkan secara meluas di Mexico dan Amerika Syarikat. Dia terkenal kerana menyebut nama individu sebenar, lokasi dan peristiwa yang benar-benar berlaku hingga menjadikan lirik lagunya lebih realistik berbanding penyanyi lain. Keberaniannya menyanyi tentang dunia gelap dan jenayah menjadikannya sasaran ancaman. Chalino bagaimanapun tetap meneruskan persembahan dan rakaman lagu tanpa gentar. Salah satu insiden terkenal berlaku ketika persembahan di mana seorang penonton mengacukan pistol kepadanya. Chalino dilaporkan mengeluarkan pistol sendiri dan menembak balas. 


     Kejadian terbesar dalam hidup Chalino berlaku pada 15 Mei 1992 ketika dia mengadakan persembahan di Culiacn, Sinaloa. Semasa persembahan, seseorang menyerahkan kepadanya sekeping nota misteri. Rakaman video menunjukkan wajah Chalino terus berubah, kelihatan cemas dan terganggu (video di hujung artikel). Walau bagaimanapun, dia tetap meneruskan persembahan sehingga tamat. Selepas itu, Chalino dilaporkan dibawa keluar oleh beberapa lelaki bersenjata yang memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa. Identiti sebenar mereka tidak pernah disahkan.

     Keesokan harinya, mayat Chalino telah ditemui di tepi jalan. Dia ditembak di kepala, mengakhiri hidupnya yang baru mencecah usia 31 tahun. Pembunuhannya menimbulkan banyak spekulasi dengan teori popular termasuk dendam akibat lirik lagu yang menyebut individu tertentu, konflik dengan kumpulan berkuasa di Sinaloa atau persaingan dalam dunia muzik. Namun tiada tangkapan rasmi dibuat dan tiada individu didakwa hingga menjadikan kes ini satu misteri yang masih belum terungkai hingga hari ini.


Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN CHALINO SANCHEZ"