Jumpa Kekasih Lama Demi Iphone, Wanita Ini Akhirnya Dibunuh

     Pada penghujung bulan Mei 2026 bertempat di negara Indonesia, seorang suri rumah tangga berusia 24 tahun bernama Ayu Puspitasari dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan ngeri akibat menjadi mangsa pembunuhan kejam. Ayu yang menetap di sebuah rumah sewa di Kecamatan Merapi, Kabupaten Lahat telah menemui ajal di tangan bekas kekasihnya sendiri, Ari Pratama yang berusia 33 tahun. 

     Latar belakang kedua-dua individu ini memaparkan tekanan hidup yang berbeza namun saling berkait. Ayu yang baru setahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya iaitu Amar Maulada dikenali oleh penduduk setempat sebagai seorang wanita yang sederhana dan setia walaupun suaminya sering berhadapan dengan masalah kesihatan yang menjejaskan ekonomi keluarga. Di sebalik itu, Ari Pratama pula sedang berhadapan dengan kemelut rumah tangganya sendiri. Di tengah-tengah kekosongan emosi dan tekanan peribadi, kedua-duanya mula berhubung kembali melalui media sosial yang pada mulanya sekadar luahan perasaan tentang masalah masing-masing sebelum berubah menjadi pertemuan rahsia.

     Pada 25 Mei 2026, keinginan Ayu untuk menyelesaikan konflik peribadi dan kemelut hidup telah membawanya ke sebuah penginapan di Muara Enim untuk bertemu dengan Ari. Pertemuan tersebut yang sepatutnya menjadi ruang untuk berbicara dari hati ke hati berubah menjadi tragedi apabila desakan barang mewah mula diutarakan. Ayu dikatakan meminta Ari membelikan sebuah model telefon pintar iPhone terkini. Permintaan itu mendapat tentangan keras daripada Ari yang mendakwa dia tidak mempunyai kemampuan kewangan selain berpendapat bahawa tanggungjawab tersebut seharusnya dipikul oleh suami Ayu. Ketegangan memuncak apabila Ayu dilaporkan mengeluarkan kata-kata yang dianggap merendahkan harga diri Ari sebagai seorang lelaki.

     Kekecewaan dan kemarahan yang membuak-buak menyebabkan Ari hilang kawalan diri. Dalam satu tindakan nekad, pelaku telah melakukan kekerasan fizikal terhadap Ayu sehingga menyebabkan mangsa kehilangan nyawa akibat sesak nafas. Setelah menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, Ari tidak segera mencari bantuan atau menyerah diri. Dia sebaliknya memilih untuk melupuskan bukti. Ari mengambil barangan peribadi milik mangsa lalu meninggalkan penginapan tersebut. Keesokan harinya, pelaku kembali ke lokasi kejadian untuk mengalihkan mayat mangsa yang dibungkus dengan kain selimut lalu membawa dan membuang jasad tersebut di pinggiran Sungai Enim dengan niat untuk menghilangkan jejak jenayahnya.

    Sementara itu, Amar Maulada yang cemas dengan kehilangan isterinya telah berusaha mencari khabar melalui kenalan dan akhirnya bertindak memuat naik berita kehilangan tersebut di media sosial serta membuat laporan rasmi di pihak berkuasa. Penantian yang penuh keresahan berakhir pada 27 Mei 2026 apabila sekumpulan pemuda menemui mayat wanita di kawasan Sungai Enim. Pengenalan identiti mangsa disahkan melalui ciri fizikal yang sangat spesifik pada struktur gigi Ayu yang dikenali dengan baik oleh suaminya. Penemuan ini segera mencetuskan tindakan pantas daripada pasukan Polres Muara Enim.


     Hasil daripada siasatan forensik, petunjuk di lokasi dan pengesanan komunikasi terakhir, pihak polis berjaya memberkas Ari Pratama dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas mayat ditemui. Tanpa melawan, Ari ditahan di kawasan Kelurahan Tungkal. Pihak berkuasa telah merampas kenderaan jenis Honda Brio berwarna merah milik pelaku yang disyaki digunakan untuk mengangkut jasad mangsa. Ketua Polis Muara Enim, AKBP Henri Syaputra mengesahkan bahawa pelaku bakal menghadapi hukuman berat dengan kemungkinan penjara maksimum 20 tahun atau hukuman penjara seumur hidup bergantung kepada keputusan mahkamah kelak. 


Catat Ulasan for "Jumpa Kekasih Lama Demi Iphone, Wanita Ini Akhirnya Dibunuh "