Kes Pembunuhan Kejam Alda Nurul Alfiah

Satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku di Jalan Manuruki 6, Lorong 1, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Kejadian yang berlaku pada malam Ahad, 14 Jun 2026 itu telah meragut nyawa seorang ibu muda berusia 24 tahun, Alda Nurul Alfiah yang dibunuh dengan kejam oleh suaminya sendiri iaitu Suharmin (21 tahun).
Sebelum kejadian malang ini berlaku, pasangan tersebut dikenali sebagai keluarga kecil yang tampak harmoni. Alda yang berasal dari Kabupaten Jeneponto dan suaminya, Armin telah mendirikan rumah tangga selama kira-kira dua tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun. Demi kelangsungan hidup, mereka menyewa sebuah bilik di tingkat dua sebuah rumah sewa. Armin bekerja sebagai kakitangan kedai dan pekerja khidmat kebersihan manakala Alda pula bekerja sebagai kakitangan di sebuah stesen minyak. Walaupun jarang bergaul dengan penghuni lain, mereka sering memaparkan sisi kehidupan yang ceria di media sosial.

Namun di sebalik kemesraan yang dipaparkan, rumah tangga mereka sebenarnya berdepan dengan tekanan ekonomi yang semakin meruncing. Impian Alda untuk memiliki kediaman sendiri sering menjadi punca pertengkaran. Alda yang mempunyai pendapatan lebih stabil berbanding suaminya sering menegur Armin agar mencari pekerjaan lain yang lebih lumayan demi menjamin masa depan keluarga. Tekanan hidup ini sering mencetuskan perbalahan di mana Armin mula berasa tertekan dan berkecil hati dengan teguran serta kata-kata kesat yang sering dilemparkan oleh isterinya.
Kemuncak kepada kejadian ini berlaku pada hari kejadian apabila suasana rumah tangga mereka menjadi sangat tegang selepas Alda mendapati terdapat kesan kemerahan yang dipercayai sebagai kesan ciuman pada leher suaminya. Penemuan tersebut mengesahkan kecurigaan Alda bahawa suaminya telah berlaku curang. Pertengkaran hebat meletus apabila Alda meluahkan rasa sakit hati dan kecewa dengan memaki hamun suaminya. Maka dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, Armin bertindak kejam dengan mengambil sebilah senjata tajam dari dalam almari lalu mengelar leher isterinya hingga mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Setelah menyedari isterinya tidak lagi bernyawa, Armin cuba melenyapkan bukti dengan melakukan helah bagi menutup jenayahnya. Dia sengaja melukai dirinya sendiri di bahagian leher, perut dan tangan bagi memberikan gambaran palsu bahawa telah berlaku pergelutan antara mereka kononnya dia hanya bertindak mempertahankan diri. Armin kemudian keluar dari bilik sewa tersebut dengan alasan mahu ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Perbuatan itu terbongkar apabila jiran tetangga yang curiga melihat pakaian Armin yang berlumuran darah. Dia kemudian segera memeriksa bilik mereka sebelum menemui mangsa dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Hasil siasatan pihak berkuasa daripada Polsek Tamalate dan pasukan Inafis Polrestabes Makassar, rahsia jahay Armin akhirnya terbongkar. Walaupun pada awalnya dia cuba menipu pihak polis dengan alasan mempertahankan diri, bukti-bukti di tempat kejadian akhirnya memaksa dia mengakui perbuatan keji itu. Armin kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan bakal berdepan dengan hukuman berat yang boleh membawa kepada penjara sehingga 20 tahun.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Alda Nurul Alfiah"