Tiga Tahun Dikurung Kekasih, Wanita di Bandung Ditemui Buta Akibat Penderaan Kejam

     Misteri kehilangan seorang wanita berusia 29 tahun sejak tiga tahun lalu akhirnya terjawab dengan pembongkaran satu kejadian ngeri yang menyayat hati. Mangsa yang dikenali dengan nama YTR ditemui dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Kota Bandung, Indonesia selepas dipercayai menjadi mangsa penculikan dan penganiayaan fizikal secara ekstrem oleh kekasihnya sendiri sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

     Kes yang pada awalnya dilaporkan secara tular di media sosial sebagai kes penganiayaan isteri oleh suami telah disahkan oleh pihak berkuasa dan ahli keluarga sebagai kes jenayah yang melibatkan pasangan kekasih. Suspek utama, seorang lelaki tempatan berinisial TH, 30 tahun kini menjadi buruan pihak polis selepas bertindak melarikan diri sejurus menghantar mangsa yang sudah tidak bermaya ke hospital.

      Detik hitam ini bermula pada tahun 2023 apabila mangsa yang ketika itu bekerja di kawasan Pasteur, Kota Bandung menghadiri sebuah konsert muzik. Di sanalah mangsa mengenali TH di mana hubungan mereka kemudian berkembang menjadi pasangan kekasih. Menurut kenyataan ahli keluarga mangsa, suspek pernah dibawa pulang ke rumah mereka di daerah Rancaekek untuk diperkenalkan. Pada waktu itu, suspek tidak menunjukkan sebarang petanda pelik atau mencurigakan. Dia bahkan kelihatan seperti seorang lelaki yang baik.

     Namun selepas lawatan keluarga berkenaan, YTR dilaporkan tidak lagi pulang ke rumah dan gagal dikesan. Bimbang dengan keselamatan mangsa, pihak keluarga pernah membuat hantaran mengenai kehilangan mangsa di platform media sosial. Tidak lama kemudian, mangsa ada menghubungi keluarga tetapi dalam nada yang marah dan mendesak agar hantaran tersebut dipadamkan. Pihak polis percaya tindakan mangsa pada ketika itu sudah pun berada di bawah kawalan, ancaman atau paksaan fizikal oleh suspek.

     Siasatan awal mendedahkan bahawa sepanjang tempoh tiga tahun kehilangannya, YTR sebenarnya telah dikurung di dalam sebuah bilik sewa di wilayah Cileunyi, Kabupaten Bandung. Di dalam bilik sempit itulah mangsa melalui detik-detik mengerikan apabila dijadikan hamba tempat melepaskan amarah oleh suspek. TH didakwa melakukan penyeksaan fizikal secara sistematik dan berulang kali menggunakan pelbagai objek tumpul serta senjata tajam.

     YTR bukan sahaja didera malah hak individu mangsa turut dirampas sepenuhnya. Suspek dipercayai menguasai seluruh akaun media sosial, kad pengenalan serta harta benda milik mangsa. Kerugian harta benda yang dialami mangsa sepanjang tempoh penculikan itu dianggarkan mencecah puluhan juta rupiah termasuk wang simpanan dan barangan berharga yang disongsong oleh suspek untuk kepentingan peribadinya.

     Rahsia gelap penderitaan YTR akhirnya terbongkar pada malam Rabu, 10 Jun 2026. Ahli keluarga mangsa dikejutkan dengan satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Mesej tersebut memaklumkan bahawa YTR sedang dirawat di ruang lobi Instalasi Gawat Darurat (IGD) Rumah Sakit Hasan Sadikin (RSHS) Bandung atas alasan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Ahli keluarga yang bergegas ke hospital bagaimanapun mendapati kenyataan mengenai kemalangan itu hanyalah helah jalanan suspek. Suspek TH dikesan merupakan individu yang menghantar mangsa ke hospital. Walau bagaimanapun, dia bertindak menghilangkan diri dalam sekelip mata selepas meninggalkan mangsa di kawasan lobi tanpa mendaftarkannya secara rasmi di kaunter kecemasan.

     Keadaan fizikal YTR ketika ditemui keluarganya di hospital amat menyedihkan dan mengundang pilu. Akibat penyeksaan tanpa henti selama bertahun-tahun, mangsa mengalami trauma fizikal dan mental yang amat berat. Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, muka, tangannserta kaki. Malah terdapat banyak parut luka lama dan baharu di sekujur tubuhnya membuktikan mangsa telah didera dalam jangka masa yang sangat lama.

      Lebih memilukan, hentaman bertubi-tubi yang dihalakan suspek pada bahagian wajah telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan saraf mata yang serius hingga disahkan mengalami kebutaan kekal. Selain kehilangan penglihatan, mangsa juga berada dalam keadaan amat lemah, tidak mampu berjalan dan mengalami kesukaran untuk bertutur dengan jelas. Pihak hospital mendedahkan bahawa pada peringkat awal, mangsa hanya mampu menangis teresak-esak dan enggan membuka mulut kerana terlalu takut dengan ancaman bunuh yang ditinggalkan oleh suspek sebelum itu.

     Susulan kejadian menyayat hati itu, pihak keluarga mangsa dengan dibantu oleh penasihat undang-undang telah tampil membuat laporan rasmi di Markas Kepolisian Daerah (Polda) Jawa Barat. Laporan tersebut merangkumi pertuduhan penganiayaan berat, penyekapan secara tidak sahnserta rompakan harta benda.

    Pihak Polda Jawa Barat menegaskan kes ini menjadi antara keutamaan mereka dan operasi memburu TH sedang dipergiatkan di seluruh wilayah berkaitan. Kes ini diklasifikasikan di bawah pasal berlapis Kanun Jenayah (KUHP) Indonesia berkaitan penganiayaan berat yang menyebabkan kecacatan kekal dengan peruntukan hukuman penjara maksimum yang berat jika sabit kesalahan. Pihak berkuasa turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek untuk tampil membantu siasatan demi menegakkan keadilan buat mangsa.

Catat Ulasan for "Tiga Tahun Dikurung Kekasih, Wanita di Bandung Ditemui Buta Akibat Penderaan Kejam "