Obsesi Pelik, Lelaki Taksub Jari Kaki Wanita

     Kes pelik yang berlaku di Ceres, Daerah Stanislaus, California Utara, Amerika Syarikat ini melibatkan seorang lelaki bernama Cristian Alejandro Solorio Anguiano atau dikenali sebagai Christian Solorio yang berusia 28 tahun dari Modesto, California.

      ​Kejadian ini bermula apabila Solorio terserempak dengan mangsa wanita di tempat kerjanya. Sejak hari itu, dia mula mengalami satu taksuban yang melampau terhadap wanita berkenaan. Solorio dilaporkan sering datang ke tempat kerja mangsa beberapa kali sehari hanya semata-mata untuk menunggu wanita itu keluar dan cuba berbual dengannya. Malah dalam tempoh beberapa minggu, Solorio bertindak agresif dengan menghantar surat-surat cinta di mana dalam salah satu surat tersebut dia menyatakan hasrat yang tidak munasabah untuk membawa wanita itu melarikan diri bersamanya ke Mexico.

     ​Kemuncak kepada tindakan menghendap ini berlaku pada malam 21 Mei 2025. Selepas berjaya menjejaki dan mengetahui lokasi kediaman mangsa, Solorio telah melakukan tinjauan di luar rumah tersebut. Sebaik sahaja menyedari bapa mangsa telah keluar meninggalkan rumah, Solorio bertindak memecah masuk ke dalam kediaman itu secara paksa. Dia kemudiannya menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mangsa yang ketika itu sedang tidur nyenyak di atas katilnya.

Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     ​Mangsa terbangun daripada tidur dalam keadaan trauma dan ketakutan yang amat sangat apabila menyedari ada seorang penceroboh lelaki berada di atas katilnya. Lebih mengerikan, mangsa mendapati lelaki asing tersebut sedang menjilat dan menggigit jari-jari kakinya dengan niat untuk melakukan serangan seksual. Walaupun berada dalam keadaan panik, mangsa menunjukkan keberanian yang luar biasa dengan berpura-pura tenang sebelum melayan penceroboh itu berbual. Tindakan bijak wanita ini berjaya mengurangkan keagresifan Solorio hinggalah ahli keluarga mangsa yang lain melangkah masuk ke dalam bilik tidur tersebut. Seterusnya, Solorio yang terkejut terus melarikan diri dari tempat kejadian selepas dihalau oleh keluarga mangsa.

     ​Pihak Pejabat Sheriff Daerah Stanislaus yang menerima panggilan kecemasan 911 segera melancarkan siasatan terperinci. Berpandukan keterangan mangsa serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan perumahan tersebut, pihak penguat kuasa berjaya mengenal pasti identiti Solorio dan menangkapnya dalam tempoh beberapa jam sahaja pada keesokan harinya iaitu 22 Mei 2025 yakni tidak jauh dari kediaman mangsa. Selepas ditahan, Solorio akhirnya mengaku bersalah atas segala perbuatannya.

       ​Di mahkamah, Christian Solorio memilih untuk tidak mencabar pertuduhan terhadap jenayah berat menghendap dan memecah masuk dengan niat melakukan serangan seksual. Disebabkan kesalahan tersebut, pihak pendakwaan melalui Timbalan Pendakwa Raya, Vita Palazuelos berjaya menuntut hukuman maksimum di bawah undang-undang California. Solorio dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan lapan bulan. Mengikut undang-undang California, kesalahan ini juga dikategorikan sebagai Super Strike yang membolehkan Solorio diletakkan di bawah status Pemangsa Seksual Ganas (Sexually Violent Predator) yang berisiko ditahan secara sah melebihi tempoh hukuman penjaranya demi keselamatan awam.


Catat Ulasan for "Obsesi Pelik, Lelaki Taksub Jari Kaki Wanita"