Panjat Tebing Tanpa Tali Keselamatan, Pempengaruh Media Sosial Yaman Maut Jatuh Dalam Kawah Gunung Berapi

     YAMAN– Seorang pempengaruh media sosial dan jaguh panjat bebas yang terkenal dengan gelaran Spider-Man Yaman dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam sebuah kawah gunung berapi pada Jumaat lalu.

     Mangsa iaitu Al-Qaqa Ibn Antar, 30 tahun yang mempunyai jumlah pengikut yang besar di media sosial dikenali ramai menerusi video-video aksi akrobatik dan pendakian ekstrem tanpa sebarang peralatan keselamatan.

     Menurut pihak berkuasa tempatan tentang kejadian tersebut, mangsa dipercayai cuba memanjat dinding batu yang curam di kawasan kawah berkenaan sebelum dilaporkan hilang kawalan lalu terjatuh.

     Satu rakaman video yang memaparkan detik-detik cemas insiden berkenaan kini tular di media sosial, menunjukkan mangsa sedang memanjat dinding kawah yang hampir menegak sebelum kelihatan hilang cengkaman (Video di hujung artikel).

     Susulan insiden itu, Lembaga Pertahanan Awam Yaman melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang disifatkan sebagai antara misi paling mencabar, rumit serta berbahaya pernah dikendalikan oleh pasukan tersebut. Jurucakap agensi berkenaan mengesahkan bahawa mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelam di dasar kawah yang selebar 120 meter itu yakni pada kedalaman 30 meter di bawah permukaan air.

     "Anggota penyelamat terpaksa meluncur turun ke dalam kawah menggunakan tali sebelum menurunkan sangkar khas untuk membawa naik mayat mangsa. Operasi ini menuntut kecekapan luar biasa ekoran rupa bumi yang ekstrem serta suhu yang sangat panas di dalam kawah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

    Atas keberanian dan kecekapan tinggi yang ditunjukkan dalam mendepani situasi berisiko itu, semua anggota pasukan penyelamat air yang terlibat dilaporkan telah dianugerahkan kenaikan pangkat serta-merta.

     Kawasan kawah gunung berapi Empangan Hardah di wilayah Dhale itu merupakan antara mercu tanda semula jadi yang popular di Yaman dan sering menjadi tumpuan pelancong ekoran kewujudan tasik sulfur air panas di dasarnya.



Catat Ulasan for "Panjat Tebing Tanpa Tali Keselamatan, Pempengaruh Media Sosial Yaman Maut Jatuh Dalam Kawah Gunung Berapi"