KISAH PESAWAT AEROFLOT 593 YANG TERHEMPAS AKIBAT KECUAIAN MANUSIA


     Kes Aeroflot Flight 593 merupakan salah satu insiden pesawat terhempas paling mengejutkan dalam sejarah moden kerana ia tidak berpunca daripada kegagalan teknikal, cuaca buruk atau serangan pengganas tetapi sebaliknya berpunca daripada kesilapan manusia dan pelanggaran disiplin keselamatan di dalam kokpit.

     Kemalangan ini berlaku pada 23 Mac 1994, melibatkan sebuah pesawat Airbus A310-304 milik Aeroflot – Russian International Airlines. Pesawat tersebut sedang melakukan penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow menuju ke Lapangan Terbang Kai Tak, Hong Kong. Di dalam pesawat terdapat 63 orang penumpang dan 12 orang kru menjadikan jumlah keseluruhan 75 orang di mana tiada seorang pun yang terselamat.

     Pesawat berlepas dari Moscow seperti biasa tanpa sebarang masalah teknikal dilaporkan. Keadaan cuaca sepanjang penerbangan juga stabil. Beberapa jam selepas berlepas yakni ketika pesawat berada pada altitud penerbangan jelajah di ruang udara Siberia, keadaan di dalam kokpit berada dalam mod autopilot. Pada ketika inilah, satu keputusan yang melanggar prosedur keselamatan diambil oleh kru penerbangan.


    Kapten pesawat iaitu Yaroslav Kudrinsky telah membenarkan anak-anaknya memasuki kokpit. Anak perempuannya yang berusia sekitar 13 tahun dibenarkan duduk di tempat duduk juruterbang dan merasai suasana menerbangkan pesawat namun tanpa menyentuh kawalan utama. 

     Keadaan bagaimanapun berubah apabila anak lelakinya yang berusia 15 tahun pula dibenarkan duduk di kerusi juruterbang dan memegang kawalan pesawat. Tanpa disedari oleh kru, pergerakan tangannya pada stereng pesawat telah menyebabkan sistem kawalan automatik terganggu. Akibatnya, pesawat mula condong perlahan-lahan ke sebelah kanan namun perubahan ini tidak segera disedari oleh juruterbang kerana tiada amaran jelas dikeluarkan. Semakin lama, kecondongan pesawat menjadi semakin ketara. Sistem kawalan automatik cuba menstabilkan penerbangan tetapi keadaan bertambah buruk apabila pesawat mula hilang keseimbangan. Pada masa yang singkat, pesawat condong secara melampau sebelum menjunam secara tiba-tiba. Ketika itulah kru menyedari sesuatu yang serius telah berlaku. Walau bagaimanapun, keadaan sudah pun berada di luar kawalan. 


     Rakaman perbualan di dalam kokpit menunjukkan suasana panik dan kekeliruan dalam kalangan kru penerbangan. Mereka cuba mengambil semula kawalan secara manual tetapi tindakan yang diambil tidak berjaya. Pesawat mula kehilangan keupayaan untuk terbang dengan stabil dan menjunam dengan sudut yang sangat curam ke arah bumi. Usaha terakhir untuk menaikkan semula pesawat gagal kerana ketinggian yang terlalu rendah. Akhirnya, Aeroflot Flight 593 terhempas di kawasan pergunungan Kuznetsk Alatau berhampiran wilayah Kemerovo, Rusia. Impak pelanggaran yang sangat kuat menyebabkan pesawat hancur sepenuhnya dan mengorbankan semua penumpang serta kru di dalamnya tanpa sebarang peluang untuk menyelamatkan diri.

     Siasatan rasmi yang dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan Rusia dan antarabangsa mendapati bahawa tiada sebarang kegagalan mekanikal pada pesawat tersebut. Sistem penerbangan, enjin dan struktur pesawat didapati berfungsi dengan baik sebelum kejadian. Punca utama kemalangan disahkan sebagai kesilapan manusia. Kisah kemalangan ini turut dipaparkan dalam dokumentari penerbangan terkenal Mayday: Air Crash Investigation melalui episod bertajuk Kid in the Cockpit yang membedah setiap detik tragedi tersebut secara terperinci dan berfakta.

Catat Ulasan for "KISAH PESAWAT AEROFLOT 593 YANG TERHEMPAS AKIBAT KECUAIAN MANUSIA"