"Tolong Selamatkan Orlin...” – Pesanan Terakhir Seorang Ibu Sebelum Rebah Dikelar Jiran.


     Kejadian menyayat hati ini bermula di sebuah kediaman mewah yang terletak agak terpencil di Dukuh Desa Pengkol, Kecamatan Karanggede, Kabupaten Boyolali, Indonesia. Rumah tersebut didiami oleh Daryanti iaitu seorang suri rumah berusia 34 tahun bersama dua orang anaknya. Suaminya yang bernama Purwanto merupakan seorang pengusaha sate yang berjaya di Singkawang, Kalimantan Barat. Disebabkan tuntutan perniagaan yang telah diusahakan selama 15 tahun, Purwanto jarang pulang ke rumah menyebabkan Daryanti menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak sendirian di kampung halaman.

     Kejadian ini berlaku pada petang Khamis, 29 Januari 2026. Segalanya bermula apabila seorang lelaki bernama Agus (38 tahun) yang merupakan jiran rapat mangsa bertindak menceroboh masuk melalui pintu sisi rumah yang tidak berkunci. Menggunakan alasan mahu membayar hutang dan menumpang ke tandas, Agus sebenarnya telah menyiapkan senjata berupa pisau dengan niat membunuh. Suasana menjadi kelam apabila Agus menyerang Daryanti secara mengejut. Dalam keadaan nyawa di hujung tanduk, Daryanti sempat mencapai telefon bimbitnya lalu membuat panggilan terakhir kepada suaminya di Kalimantan di mana merintih kesakitan dan meminta pertolongan sebelum talian terputus.



     Sejurus menerima panggilan cemas tersebut, Purwanto segera menghubungi adiknya, Ngatirin untuk memeriksa keadaan di rumah. Setibanya Ngatirin di lokasi, dia melihat kesan titisan darah yang mengerikan di lantai. Walaupun dalam keadaan lehernya dikelar parah, naluri seorang ibu mengatasi segalanya. Daryanti masih mampu berbisik meminta Ngatirin menyelamatkan anaknya, Orlin yang berada di dalam bilik air. Alangkah hancurnya hati Ngatirin apabila menemui anak kecil berusia 6 tahun itu sudah tidak bernyawa dengan kepalanya dibenamkan ke dalam baldi berisi air. Kanak-kanak malang itu dipercayai dibunuh kerana menjadi saksi serangan terhadap ibunya.

     Siasatan pihak polis mendedahkan sisi gelap suspek yang dikenali sebagai seorang yang gemar berhutang tetapi enggan membayarnya. Motif utama pembunuhan ini adalah rasa sakit hati dan dendam apabila Daryanti menagih hutang tersebut lima hari sebelum kejadian. Selain itu, wujud elemen cemburu sosial di mana suspek yang hidup dalam kesempitan ekonomi berasa dengki melihat kemewahan keluarga mangsa. Walaupun isteri suspek sering berkunjung ke rumah mangsa dan hubungan kedua-dua keluarga dianggap baik, perasaan dengki yang membuak-buak telah mendorong Agus melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.

     Pihak Polis Boyolali bersama pasukan Jatanras Polda Jawa Tengah bertindak pantas dan berjaya memberkas Agus dalam tempoh kurang 24 jam di daerah Kudus. Suspek ditemui sedang bersembunyi di rumah saudaranya bersama motosikal milik mangsa yang dicurinya. Akibat tindakan kejam tersebut, Daryanti terpaksa melalui penderitaan fizikal yang dahsyat dengan 58 jahitan di leher manakala suaminya, Purwanton dikatakan rebah dalam tangisan semasa pengebumian anak bongsunya. Suspek kini berdepan dengan hukuman mati atas pertuduhan pembunuhan terancang dan rompakan bersenjata.

Catat Ulasan for ""Tolong Selamatkan Orlin...” – Pesanan Terakhir Seorang Ibu Sebelum Rebah Dikelar Jiran."