Kisah Yang Niuhua yang Benar-Benar Menyedihkan

      Kisah Yang Niuhua ini bermula pada tahun 1990 di daerah Zhijin, Wilayah Guizhou, China. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang harmoni, Niuhua membesar dengan limpahan kasih sayang daripada bapanya, Yang Xinmin dan ibunya. Bagi menyara kehidupan dan impian membina rumah yang lebih selesa, keluarga kecil ini telah berpindah ke bandar Guiyang untuk bekerja sebagai buruh. Di sana, mereka menyewa sebuah bilik kecil di kawasan yang sesak berhampiran stesen kereta api tanpa menyedari bahawa keputusan itu bakal meragut segala kebahagiaan mereka buat selama-lamanya.

​     Pada tahun 1996 yakni ketika Niuhua baru berusia lima tahun, seorang wanita bernama Yu Huaying berpindah ke bilik sebelah rumah sewa mereka. Yu Huaying berpura-pura menjadi jiran yang sangat peramah di mana dia sering meminjam peralatan dapur dan memberi buah-buahan serta snek kepada Niuhua dan kakaknya, Sang Ying. Keramahan palsu ini rupa-rupanya hanyalah satu muslihat. Pada suatu hari, ketika ibu bapa mereka sedang bekerja, Yu Huaying memperdaya Niuhua dengan janji mahu membelikan jarum mengait. Niuhua yang masih mentah mengikut wanita itu lalu dilarikan menaiki kereta api menuju ke wilayah Hebei yang terletak lebih 1600 kilometer jauhnya.


     Setibanya di Handan, Hebei, Niuhua telah dijual dengan harga 3500 yuan (sekitar RM1100) kepada sebuah keluarga di kawasan pedalaman. Dia diberikan nama baharu, Li Suyan. Kehidupannya di sana sangat memeritkan. Bapa angkatnya merupakan seorang lelaki OKU (pekak dan bisu) manakala nenek angkatnya sering melayannya dengan dingin kerana menganggap Niuhua hanyalah 'barang' yang dibeli dengan harga mahal. Walaupun Niuhua cemerlang dalam pelajaran, nenek angkatnya memaksa dia berhenti sekolah selepas darjah enam kerana bimbang Niuhua akan melarikan diri jika dia menjadi terlalu bijak. Niuhua akhirnya terpaksa bekerja sebagai buruh kilang seawal usia 13 tahun untuk menyara keluarga angkatnya.

​     Di sebalik penderitaan di tanah asing, Niuhua tidak pernah melupakan asal-usulnya. Dia memendam rindu yang amat sangat dan sering teringat memori bapanya yang suka menyuapkan paha ayam kepadanya. Namun apa yang tidak diketahui oleh Niuhua adalah kepulangan yang diimpikannya itu sudah terlambat bagi ibu bapa kandungnya. Kehilangan Niuhua telah menghancurkan jiwa bapanya, Yang Xinmin yang akhirnya meninggal dunia pada usia 39 tahun akibat ketagihan alkohol kerana terlalu bersedih. Ibunya pula mengalami gangguan mental yang teruk dan meninggal dunia pada usia 32 tahun. Kakaknya, Sang Ying pula terpaksa membesar sebatang kara dan hidup dalam kesusahan.

     ​Peluang untuk Niuhua pulang akhirnya terbuka pada tahun 2021 apabila dia memuat naik video pencarian keluarga di media sosial. Menerusi bantuan sukarelawan dan sampel DNA, Niuhua berjaya dikesan oleh sepupunya lalu akhirnya bertemu semula dengan kakaknya, Sang Ying. Pertemuan itu penuh dengan air mata namun Niuhua hancur luluh apabila mendapat tahu bahawa kedua-dua ibu bapanya telah lama meninggal dunia akibat menanggung derita kehilangannya. Perasaan sedih itu bertukar menjadi kemarahan yang membara terhadap penculiknya.


     Enggan membiarkan penjenayah tersebut bebas, Niuhua bekerjasama dengan pihak polis untuk menjejaki Yu Huaying. Pada Jun 2022, Yu Huaying akhirnya berjaya ditangkap. Siasatan mendedahkan bahawa wanita itu merupakan penjenayah kejam yang telah menculik sekurang-kurangnya 11 orang kanak-kanak. Dia bahkan tergamak menjual anak kandungnya sendiri demi wang. Pada September 2023, dalam satu perbicaraan yang penuh emosi di mana Niuhua bersemuka dengan penculiknya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Yu Huaying. Walaupun ibu bapanya tidak dapat kembali, Niuhua akhirnya berjaya membersihkan nama mereka dan memberikan keadilan yang sewajarnya di hadapan kubur mereka.


Catat Ulasan for "Kisah Yang Niuhua yang Benar-Benar Menyedihkan "