Kisah Kematian Duk Koo Kim di Gelanggang Tinju

     Kematian Duk Koo Kim pada tahun 1982 merupakan salah satu kejadian paling menyayat hati yang pernah berlaku dalam sejarah sukan tinju. Kejadian ini telah meragut nyawa seorang peninju muda yang sedang berada di kemuncak kerjaya. 

     Duk Koo Kim dilahirkan pada 29 November 1955 di Korea Selatan dalam sebuah keluarga miskin. Sejak kecil, kehidupannya dipenuhi dengan kesukaran ekonomi dan kekurangan peluang. Seperti kebanyakan ramai anak muda dari latar belakang serupa, Kim melihat tinju sebagai satu-satunya jalan untuk mengubah nasib keluarga dan keluar daripada kemiskinan. Dia mula berlatih tinju secara serius pada usia muda dan menunjukkan disiplin serta daya tahan fizikal yang luar biasa.

     Sebagai peninju profesional, Duk Koo Kim dikenali dengan gaya bertarung yang agresif dan keberanian luar biasa. Sebelum perlawanan terakhirnya, rekod Kim ialah 17 kemenangan termasuk lapan kemenangan melalui tumbukan knockout, serta dua kekalahan. Rekod ini sudah cukup untuk melayakkannya sebagai pencabar kepada gelaran dunia kelas ringan WBA. (World Boxing Association).


     Pada 13 November 1982, Duk Koo Kim bertemu Ray Boom Boom Mancini, juara dunia kelas ringan WBA dari Amerika Syarikat dalam satu perlawanan yang berlangsung di Caesars Palace, Las Vegas. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung selama 15 pusingan selaras dengan peraturan kejuaraan dunia ketika itu. Sejak pusingan awal, perlawanan berlangsung dalam keadaan sangat sengit dan ganas. Kedua-dua peninju saling bertukar pukulan tanpa memberi ruang untuk berehat. Mancini dikenali sebagai peninju bertenaga dengan serangan bertubi-tubi manakala Kim pula terkenal dengan ketahanan fizikal dan keengganan untuk mengalah. Sepanjang perlawanan, Kim menerima banyak pukulan ke kepala namun tetap bangkit dan meneruskan pertarungan.

     Menjelang pusingan pertengahan, Kim jelas kelihatan keletihan. Walau bagaimanapun, dia enggan untuk berundur. Hinggalah pusingan ke-14, Ray Mancini melepaskan satu siri pukulan kuat yang akhirnya menyebabkan Duk Koo Kim rebah. Pengadil iaitu Richard Green menghentikan perlawanan dan memberikan kemenangan knockout teknikal kepada Mancini. Pada ketika itu, ramai menyangka perlawanan telah berakhir seperti biasa. Namun kejadian sebenar berlaku selepas itu. Kim bangkit dan berjalan kembali ke sudut tetapi tidak lama kemudian dia rebah lalu tidak sedarkan diri. Kim kemudian dikejarkan ke hospital dan didiagnosis mengalami pendarahan otak serius yang dikenali sebagai subdural hematoma. Walaupun menjalani pembedahan kecemasan, Duk Koo Kim meninggal dunia empat hari berikutnya pada 18 November 1982 yakni pada usia 27 tahun.

     Kematian Duk Koo Kim memberi kesan yang amat mendalam kepada ibunya. Kim bukan sahaja seorang anak tetapi harapan keluarga untuk keluar daripada kesusahan hidup. Kehilangannya menyebabkan ibunya tenggelam dalam kesedihan dan kemurungan yang teruk. Dia dilaporkan sering menyalahkan dunia tinju dan percaya anaknya telah dibiarkan bertarung sehingga membawa maut. Beberapa bulan selepas kematian Kim, ibunya membunuh diri. 

     Pengadil perlawanan tersebut, Richard Green turut terkesan secara psikologi. Walaupun dia tidak melanggar peraturan dan bertindak mengikut piawaian tinju pada era itu, Green dipercayai dibelenggu rasa bersalah yang mendalam kerana tidak menghentikan perlawanan lebih awal. Kecaman media dan pandangan awam yang mengaitkannya dengan kematian Kim menambahkan lagi tekanan emosi yang dihadapinya. Pada Julai 1983, kira-kira lapan bulan selepas kejadian tersebut, Richard Green membunuh diri. Walaupun tiada nota rasmi yang secara langsung mengaitkan tindakannya dengan perlawanan Kim-Mancini, ramai pihak percaya kejadian itu memainkan peranan besar dalam pergelutan emosinya.


      Walaupun Ray Mancini muncul sebagai pemenang perlawanan, dirinya tidak terlepas daripada kesan psikologi. Dia secara terbuka mengakui mengalami trauma dan rasa bersalah yang mendalam selama bertahun-tahun. Mancini pernah menyatakan bahawa kemenangan itu menghantui hidupnya walaupun dia tidak bersalah dari sudut undang-undang atau peraturan.

     Kematian Duk Koo Kim akhirnya membawa kepada perubahan besar dalam peraturan tinju profesional. Antara perubahan paling ketara ialah pengurangan bilangan pusingan bagi perlawanan kejuaraan dunia daripada 15 pusingan kepada 12 pusingan. Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko kecederaan otak akibat keletihan melampau. Selain itu, pemeriksaan perubatan terhadap peninju sebelum dan selepas perlawanan diperketatkan. Pengadil diberi kuasa lebih besar untuk menghentikan perlawanan demi keselamatan atlet. Kesedaran tentang kecederaan otak kronik dalam sukan tinju juga mula mendapat perhatian serius selepas kejadian ini.


Catat Ulasan for "Kisah Kematian Duk Koo Kim di Gelanggang Tinju"