Aum Shinrikyo, Kumpulan Ajaran Sesat Paling Gila di Jepun

     Kes Aum Shinrikyo merupakan sebuah kumpulan ajaran sesat paling berbahaya yang pernah wujud di Jepun. Kumpulan ini memperlihatkan bagaimana kepercayaan songsang, manipulasi psikologi dan sains berbahaya boleh bergabung sehingga mengorbankan ribuan nyawa. 

     Aum Shinrikyo diasaskan pada tahun 1984 oleh seorang lelaki Jepun bernama Chizuo Matsumoto yang kemudiannya dikenali sebagai Shoko Asahara. Asahara yang dilahirkan pada tahun 1955 mempunyai masalah penglihatan sejak kecil. Kehidupan awalnya dipenuhi kegagalan akademik dan kekecewaan peribadi termasuk cubaan yang tidak berjaya untuk memasuki institusi pengajian tinggi elit. Kekecewaan ini dipercayai menjadi salah satu faktor yang mendorongnya membina identiti baharu sebagai seorang guru spiritual.

     Pada awal penubuhannya, Aum Shinrikyo tampil sebagai sebuah kumpulan keagamaan yang kelihatan tidak berbahaya. Ajarannya menggabungkan unsur Buddhisme, Hinduisme dan meditasi yoga yang selari dengan minat masyarakat Jepun ketika itu terhadap kerohanian alternatif. Namun ajaran Asahara kemudian berubah menjadi semakin ekstrem. Dia mula mendakwa dirinya sebagai jelmaan Buddha dan Jesus sebelum akhirnya mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan.


     Asahara menyebarkan kepercayaan bahawa dunia sedang menuju kepada kiamat besar yang kononnya akan berlaku akibat peperangan global dan kehancuran moral manusia. Menurut ideologinya, hanya pengikut Aum Shinrikyo yang akan terselamat dan memimpin dunia baharu selepas kiamat. Kepercayaan ini dijadikan asas untuk menuntut ketaatan mutlak daripada pengikutnya tanpa sebarang soal atau keraguan.

     Apa yang menjadikan Aum Shinrikyo amat berbahaya ialah latar belakang ahlinya. Kumpulan ini berjaya menarik saintis, jurutera, doktor dan graduan universiti terkemuka seperti Universiti Tokyo. Golongan ini memainkan peranan penting dalam membangunkan makmal rahsia dan menghasilkan bahan kimia berbahaya. 

     Di bawah kepimpinan Asahara, pembunuhan mula dianggap sebagai satu bentuk penyelamatan roh. Mangsa yang dibunuh dikatakan dilepaskan daripada penderitaan dunia dan akan dilahirkan semula dalam keadaan lebih baik. Justifikasi ini digunakan untuk menghalalkan pembunuhan bekas ahli, pengkritik dan sesiapa sahaja yang dianggap ancaman kepada kumpulan tersebut.

     Kemuncak keganasan Aum Shinrikyo berlaku pada 20 Mac 1995 dalam satu serangan yang mengejutkan Jepun. Pada pagi itu, lima ahli Aum Shinrikyo menaiki beberapa tren dalam sistem kereta api bawah tanah Tokyo pada waktu puncak. Mereka membawa beg plastik berisi gas sarin, sejenis agen saraf yang sangat beracun dan dilarang di peringkat antarabangsa. Menggunakan hujung payung yang tajam, mereka menebuk beg tersebut sebelum melarikan diri. Gas sarin yang dilepaskan merebak dengan pantas dalam gerabak tren dan stesen. Penumpang mengalami sesak nafas, sawan, muntah dan kehilangan penglihatan. Keadaan menjadi huru-hara apabila orang ramai rebah di lantai dan laluan tren lumpuh sepenuhnya. Serangan ini mengorbankan 13 orang, mencederakan lebih 6000 mangsa dan meninggalkan kesan kesihatan jangka panjang kepada ramai yang terdedah kepada gas tersebut.

     Siasatan besar-besaran dilancarkan oleh pihak berkuasa Jepun selepas serangan tersebut. Polis menemui makmal rahsia Aum Shinrikyo, simpanan bahan kimia berbahaya serta bukti eksperimen senjata biologi termasuk cubaan menghasilkan anthrax dan gas VX. Kumpulan ini juga didapati terlibat dalam pembunuhan penculikan dan penahanan ahli secara paksa.

     Shoko Asahara akhirnya ditangkap pada Mei 1995 di mana dia bersembunyi di dalam sebuah ruang rahsia di kompleks Aum. Perbicaraan kes ini mengambil masa yang sangat panjang yakni melibatkan ratusan saksi dan ribuan dokumen. Ia menjadi antara proses kehakiman paling rumit dalam sejarah Jepun. Pada tahun 2018, selepas lebih dua dekad proses perundangan, Asahara dan 12 pemimpin kanan Aum Shinrikyo dijatuhi hukuman mati melalui gantung sampai mati. Secara rasmi, Aum Shinrikyo telah dibubarkan. Namunnbeberapa kumpulan pecahan seperti Aleph masih wujud dan dipantau rapi oleh kerajaan Jepun. Walaupun mereka tidak lagi terlibat dalam keganasan terbuka, ideologi asal Aum Shinrikyo terus dianggap berbahaya.

Catat Ulasan for "Aum Shinrikyo, Kumpulan Ajaran Sesat Paling Gila di Jepun"