Kisah Dr. Yue Yu: Doktor Pakar yang Meracun Suami

     Kes jenayah yang berlaku di California ini melibatkan sepasang suami isteri profesional iaitu Dr. Yue Yu (dikenali sebagai Emily), seorang pakar dermatologi yang disegani dan suaminya, Dr. Jack Chen, seorang pakar radiologi. Pasangan yang kelihatan memiliki kehidupan sempurna dengan rumah bernilai 2.7 juta dolar dan dua orang cahaya mata ini sebenarnya menyimpan rahsia keretakan rumah tangga yang sangat toksik yang berakhir dengan cubaan membunuh secara halus.

    BKonflik ini mula terdedah pada April 2022 apabila Dr. Jack Chen mula mengalami masalah kesihatan yang misteri. Dia sering mengadu sakit perut yang melampau, cirit-birit dan kelesuan yang luar biasa. Sebagai seorang doktor, dia pada mulanya menyangka ia adalah masalah penghadaman biasa. Namun pemeriksaan klinikal mendapati beliau menghidap ulser perut yang kronik, gastritis dan keradangan esofagus. Apa yang menimbulkan kecurigaan adalah apabila rawatan perubatan yang dijalankannya tidak menunjukkan sebarang kesan pemulihan. Keadaan kesihatannya bahkan menjadi semakin merosot seolah-olah ada agen penghakis yang terus-menerus mencederakan organ dalamannya.


     Kecurigaan Dr. Jack memuncak apabila dia menyedari teh panas yang disediakan oleh isterinya mempunyai rasa kimia yang sangat ganjil dan bau yang menyengat. Berbekalkan naluri sebagai seorang doktor, dia bertindak memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara tersembunyi di ruang dapur rumah mereka. Hasil rakaman tersebut amat mengejutkan dan meruntuhkan kepercayaannya sebagai seorang suami. Rakaman video menunjukkan dengan jelas Dr. Yue Yu mengambil botol plastik merah berisi cecair pembersih longkang jenama Drano dari bawah sinki lalu menuangkannya ke dalam cawan minuman suaminya sebanyak sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang bulan Julai 2022.


     Pembersih longkang Drano merupakan bahan kimia industri yang mengandungi natrium hidroksid dan peluntur. Bahan ini bersifat sangat menghakis kerana jika terkena kulit pun boleh menyebabkan lecuran tahap ketiga apatah lagi jika ditelan masuk ke dalam sistem pencernaan manusia. Tindakan Dr. Yue Yu ini dianggap sebagai satu cubaan membunuh yang sangat kejam kerana kesan bahan tersebut akan memakan organ dalaman mangsa secara perlahan-lahan.

     Setelah memperoleh bukti video yang kukuh, Dr. Jack segera membuat laporan polis pada Ogos 2022. Dr. Yue Yu ditangkap di tempat kerjanya di Hospital Providence Mission. Walau bagaimanapun, proses perundangan menjadi rumit apabila Dr. Yue Yu memberikan pembelaan yang dianggap tidak masuk akal. Pada mulanya, peguamnya mendakwa Dr. Yue Yu hanya menuang cecair itu ke dalam cawan kosong untuk memudahkan proses mencuci saluran paip. Alasan tersebut bagaimanapun bertukar pula kepada dakwaan bahawa cecair itu dicampur dengan gula sebagai umpan semut atas arahan suaminya sendiri.

     Kes ini menjadi lebih gelap apabila elemen penderaan domestik didedahkan di mahkamah. Dr. Jack mendakwa bahawa selama bertahun-tahun, isterinya itu bukan sahaja mendera dirinya secara lisan dan psikologi malah turut mengawal dan mengasari dua anak mereka. Kemuncak kepada keruntuhan moral doktor wanita ini adalah apabila dia dikesan cuba menghasut anak perempuannya yang berusia 11 tahun untuk memberi keterangan palsu di mahkamah bagi menyokong ceritanya tentang umpan semut tersebut. Kanak-kanak itu dalam keadaan menangis dan ketakutan, melaporkan tindakan ibunya kepada pakar psikologi sekolah yang akhirnya membawa kepada penarikan hak penjagaan anak sepenuhnya daripada Dr. Yue Yu.

     Kini kehidupan Dr. Yue Yu yang dahulunya berada di puncak kerjaya musnah sama sekali. Dia berhadapan dengan beberapa pertuduhan jenayah berat termasuk cubaan meracun dan penderaan domestik. Jika disabitkan kesalahan, wanita berkenaan bukan sahaja bakal meringkuk di penjara selama lapan tahun malah lesen perubatannya akan ditarik balik secara kekal sekali gus menamatkan kerjaya profesionalnya.


Catat Ulasan for "Kisah Dr. Yue Yu: Doktor Pakar yang Meracun Suami"