Kisah Paris Oda: Kejatuhan Seorang Bapa dan Pembunuhan Nekad Keluarga Sendiri

Pada pagi Ahad, 10 Mac 2024 bertempat di kejiranan elit yang tenang di Manoa, Honolulu, Hawaii, berlakunya satu kes pembunuhan sekeluarga. Keluarga yang sebelum ini dilihat sebagai keluarga bahagia dan berjaya maut di tangan individu yang sepatutnya menjadi pelindung mereka. Paris Oda iaitu seorang doktor kiropraktik berusia 46 tahun telah bertindak luar kawalan dengan membunuh isterinya, Naoko Oda (48 tahun) serta tiga anak mereka yang masih remaja dan kanak-kanak sebelum membunuh diri sendiri.
Segalanya bermula apabila pihak polis Honolulu menerima panggilan kecemasan mengenai gangguan domestik di sebuah kediaman di Waa Place. Pegawai polis tiba di lokasi pada jam 8:34 pagi. Selepas mengetuk pintu dan tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan, mereka beredar. Namun 45 minit kemudian, seorang penyewa yang mendiami tingkat bawah rumah tersebut keluar melalui tingkap dalam keadaan trauma lalu menghubungi polis semula.

Penyewa wanita tersebut menceritakan detik ngeri antara jam 2:00 hingga 2:30 pagi apabila dia dikejutkan oleh jeritan yang memilukan dari tingkat atas. Dalam ketakutan, dia mengunci pintu biliknya sebelum melihat cecair merah pekat yakni darah yang mula mengalir masuk ke bawah pintu biliknya. Apabila polis memasuki rumah tersebut pada jam 9:15 pagi, mereka menemui pemandangan yang menyayat hati iaitu lima mayat bergelimpangan dalam takungan darah. Paris Oda ditemui mati dengan pisau dapur masih di tangannya manakala isteri dan tiga anaknya, Sakurako (17 tahun), Orion (12 tahun) dan Nana (10 tahun) ditemui di bilik-bilik berasingan dengan kesan tikaman yang dahsyat.
Di mata jiran dan pesakitnya, Paris Oda adalah seorang bapa yang sangat berdedikasi. Dia dikenali sebagai individu yang sanggup bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan dan bekal makanan buat anak-anaknya bagi meringankan beban isterinya. Namun di sebalik senyuman itu, Paris sedang bergelut dengan krisis kewangan yang amat meruncing. Siasatan mendapati perniagaan kiropraktiknya merosot teruk sejak pandemik COVID-19. Dia berhutang hampir $90 000 bagi sewa pejabat yang tidak dibayar sejak 2017 selain tunggakan cukai negeri, ansuran kereta dan yuran sekolah anak-anak yang mencecah ribuan dolar.

Tekanan ini mengubah personaliti Paris daripada seorang yang peramah menjadi pendiam, murung dan cepat marah. Bagi menampung kehidupan, dia terpaksa bekerja sebagai pemandu Uber. Walau bagaimanapun, pekerjaan sambilan itu masih tidak mencukupi untuk menyelamatkan keluarganya daripada muflis. Rasa malu dan ego yang tinggi menghantui Paris. Paris dilaporkan memberitahu ahli keluarganya bahawa dia lebih rela mati daripada menanggung malu dipenjarakan akibat kegagalan membayar cukai.

Satu aspek yang paling memilukan dalam kes ini adalah pendedahan mengenai perbualan terakhir antara Paris dan isterinya pada Februari 2024. Paris telah menyatakan hasratnya untuk membunuh diri dan mahu membawa isteri serta anak-anaknya bersama-sama. Logik yang terpesong dalam fikirannya adalah bahawa jika dia tiada, tiada sesiapa lagi yang mampu menjaga anak-anaknya dengan baik. Naoko yang berasal dari Jepun cuba sedaya upaya untuk memberi sinar harapan. Dia mencadangkan agar mereka menjual rumah bernilai $1.7 juta itu dan berpindah ke Jepun untuk memulakan hidup baru bersama ibu bapanya. Paris bagaimanapun sudah terlalu penat dan tumpas kepada kegelapan mentalnya. Laporan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa-mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan nyawa mereka berdasarkan luka pertahanan pada tangan dan lengan. Malangnya mereka tidak berdaya melawan serangan nekad seorang bapa yang telah hilang pertimbangan.
Catat Ulasan for "Kisah Paris Oda: Kejatuhan Seorang Bapa dan Pembunuhan Nekad Keluarga Sendiri"