Kisah Pengkhianatan Seorang Doktor Pakar di Suzhou: Kopi Beracun

Dunia perubatan di Suzhou, China pernah digemparkan dengan satu kes pembunuhan profil tinggi yang melibatkan Dr. Qiu Xiaoqiang iaitu seorang pakar bedah pediatrik. Namun di sebalik reputasinya yang cemerlang sebagai doktor yang lembut tutur kata dan berdedikasi, terselindung satu rancangan jahat yang dijalankan dengan penuh ketelitian selama 730 hari terhadap isterinya sendiri iaitu Gu Su.
Qiu Xiaoqiang berasal daripada latar belakang keluarga yang serba kekurangan. Sifatnya yang sangat kompetitif mendorongnya untuk berjaya namun ia juga melahirkan rasa rendah diri yang kronik. Apabila dia berpeluang mengahwini Gu Su, anak kepada mentornya sendiri, Dr. Gu Sirong, Qiu melihatnya sebagai satu tangga untuk mendaki status sosial. Walaupun mereka dikurniakan anak, kasih sayang Qiu adalah palsu. Dia menganggap keluarga mentuanya yang kaya dan berkuasa sebagai beban yang memijak maruahnya manakala Gu Su pula seorang isteri yang dominan hingga menyebabkan Qiu mencari kepuasan melalui hubungan sulit dengan sekurang-kurangnya sepuluh wanita berbeza sepanjang perkahwinan mereka.

Berbeza dengan pembunuh yang menggunakan kekerasan fizikal, Qiu menggunakan kepakarannya dalam farmakologi. Dia memilih Ketamin yakni sejenis agen bius yang tidak berwarna dan tidak berasa apabila dilarutkan. Strateginya sangat licik. Selama dua tahun, dia memberikan dos kecil dalam kopi harian isterinya. Akibatnya, Gu Su sering mengadu pening, jantung berdebar dan sesak nafas secara misteri. Apabila Gu Su mendapatkan rawatan di hospital, doktor-doktor lain termasuk bapanya sendiri gagal mengesan punca sebenar kerana kesan Ketamine dalam dos kecil sukar dikesan jika tidak diuji secara spesifik. Situasi ini membina naratif seolah-olah Gu Su memang menghidap penyakit jantung kronik.

Hinggalah pada 11 September 2003, Qiu bertindak nekad akibat tekanan daripada kekasih gelapnya yang menuntut supaya dia bercerai dengan Gusu. Qiu telah mencampurkan lima ampul Ketamine ke dalam kopi mangsa. Melihat isterinya meronta kesakitan di atas katil, Qiu dengan tenang berdiri di dapur selama dua minit hanya untuk menyental cangkir kopi sehingga bersih sebelum meminum kopi lain menggunakan cangkir yang sama bagi menghapuskan sisa bau atau cecair. Dia hanya menghubungi ambulans selepas memastikan nadi isterinya hampir terhenti.
Di hospital, Qiu melakukan drama ingin membunuh diri dengan cuba melanggar dinding, sebuah lakonan yang hampir memperdayakan semua orang kecuali bapa mentuanya yang menyedari bahawa tanda-tanda pada mayat Gu Su menyerupai mangsa keracunan bahan kimia, bukannya kegagalan jantung semula jadi. Dr. Gu Sirong yang juga merupakan seorang pakar bedah kardiotorasik terkemuka berasa curiga selepas mendapati tanda-tanda fizikal pada mayat anaknya seperti pupil mata yang membesar dan perut yang kembung tidak sepadan dengan serangan jantung biasa. Walaupun Qiu cuba menghalang proses bedah siasat dengan pelbagai alasan emosi, Dr. Gu tetap bertegas demi mencari kebenaran. Hasil autopsi akhirnya mendedahkan penemuan yang mengerikan di mana terdapat kepekatan tinggi bahan bius Ketamine di dalam darah dan perut mangsa.

Ketelitian Dr. Gu Sirong yang menyimpan sampel muntah anaknya secara rahsia menjadi kunci utama. Pihak polis kemudian menemui rekod tandatangan Qiu di hospital yang menunjukkan dia sering mengeluarkan Ketamine tanpa alasan klinikal yang kukuh. Akhirnya pada 23 September 2003, polis memberkas Qiu di rumah kekasihnya. Walaupun Qiu merayu dengan alasan dia mengalami tekanan mental, mahkamah menganggap tindakannya sebagai pembunuhan terancang yang sangat kejam kerana melibatkan pengkhianatan kepercayaan rumah tangga dan penyalahgunaan ilmu perubatan. Dr. Qiu Xiaoqiang akhirnya dieksekusi melalui hukuman mati pada tahun 2004.
Catat Ulasan for "Kisah Pengkhianatan Seorang Doktor Pakar di Suzhou: Kopi Beracun"