Kopi Pagi Berperisa Maut: Misteri Cecair Peluntur di Sebalik Keikhlasan Seorang Isteri

Kes Melody Felicano Johnson dianggap sebagai salah satu kes pengkhianatan paling dingin dan terancang dalam sejarah jenayah di Arizona, Amerika Syarikat. Apa yang bermula sebagai sebuah perkahwinan antara seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat dan seorang suri rumah akhirnya berakhir dengan pendedahan mengejutkan melalui rakaman rahsia yang membongkar niat jahat seorang isteri untuk menghapuskan nyawa suaminya.
Kisah ini bermula apabila Roby Johnson mula menyedari kejanggalan pada kopi yang disediakan oleh isterinya iaitu Melody Johnson setiap pagi. Ketika mereka ditempatkan di Jerman pada Mac 2023, Roby mendapati rasa kopi tersebut sangat luar biasa yakni terlalu pahit serta mempunyai bau kimia yang tajam. Pada peringkat awal, dia menganggap keadaan itu mungkin berpunca daripada kualiti air tempatan atau kerosakan pada mesin kopi. Namun selepas hampir dua minggu keadaan tersebut berterusan tanpa perubahan, Roby mengambil keputusan untuk menjalankan ujian sendiri. Menggunakan jalur ujian klorin yang lazim digunakan untuk kolam renang, Roby mendapati tahap klorin yang sangat tinggi di dalam takungan air mesin kopi mereka. Penemuan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatannya.

Tidak mahu membuat tuduhan tanpa bukti kukuh, Roby bertindak secara berhati-hati dengan memasang sebuah kamera tersembunyi yang disamarkan sebagai pengesan asap di dapur rumah mereka. Rakaman yang diperoleh amat mengejutkan. Ia memaparkan Melody dengan tenang mengambil cecair peluntur dari bilik dobi, membawanya ke dapur lalu menuangkannya ke dalam mesin kopi sebelum Roby bangun daripada tidur (video di hujung artikel). Demi mengumpulkan bukti yang mencukupi, Roby terpaksa berpura-pura meminum kopi tersebut selama beberapa bulan walaupun hakikat sebenar dia membuang air kopi itu. Semua ini dilakukan bagi memastikan bukti yang diperoleh cukup kuat untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sebaik sahaja mereka pulang ke Arizona, Amerika Syarikat.

Setelah bukti rakaman video diperoleh di kediaman mereka di Tucson, Arizona, Melody akhirnya ditangkap pada Julai 2023. Motif di sebalik perbuatan tersebut dipercayai berkait rapat dengan kepentingan kewangan. Roby mendakwa bahawa isterinya berniat menamatkan nyawanya bagi membolehkan Melody menerima pampasan kematian tentera yang dianggarkan berjumlah sekitar AS$100 000 (sekitar RM400 000) selain memperoleh hak penuh ke atas rumah yang baru mereka beli. Dalam prosiding mahkamah, pihak pembelaan berhujah bahawa Melody mengalami masalah kesihatan mental. Terdapat juga dakwaan balas berhubung ketidakharmonian rumah tangga yang dikatakan berpunca daripada masalah alkohol serta sikap panas baran Roby.
Pada April 2024, kes ini berakhir dengan satu keputusan yang dianggap kontroversi oleh ramai pihak. Melody mengaku bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan iaitu mencampurkan bahan berbahaya ke dalam makanan atau minuman selepas pertuduhan cubaan membunuh digugurkan melalui perjanjian pengakuan bersalah. Mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun tempoh percubaan serta mewajibkan Melody menjalani penilaian kesihatan mental. Antara faktor utama yang menyebabkan dia tidak dipenjarakan ialah permohonan Roby sendiri yang meminta agar isterinya itu tidak dipenjarakan demi kesejahteraan anak mereka. Selain itu, Melody juga telah menghabiskan hampir setahun dalam tahanan reman sementara menunggu perbicaraan.
Catat Ulasan for "Kopi Pagi Berperisa Maut: Misteri Cecair Peluntur di Sebalik Keikhlasan Seorang Isteri"