Kisah Pembunuhan Kejam Sekeluarga di Warakas

    Satu kejadian menyayat hati telah berlaku di Jalan Warakas 8, Tanjung Priok, Jakarta Utara di mana sebuah keluarga ditemui maut dalam keadaan mencurigakan pada 2 Januari 2026. Kes yang pada mulanya disyaki keracunan makanan ini akhirnya terbongkar sebagai rancangan pembunuhan terancang yang dilakukan oleh anak sendiri. Abdullah Shauki Jamaluddin, anak ketiga keluarga tersebut akhirnya mengaku bertanggungjawab meracuni ibu dan dua adik-beradiknya sehingga maut.

     Keluarga malang ini diketuai oleh Siti Shihah (52 tahun), seorang ibu tunggal yang gigih mencari rezeki dengan mengusahakan sebuah warung kecil berhampiran rumahnya. Dia tinggal bersama empat orang anaknya iaitu Afiah (27 tahun), Davi (24 tahun), Shauki (22 tahun) dan Adnan (13 tahun). Menurut jiran tetangga, keluarga ini kelihatan aman dan harmoni dalam kehidupan seharian walaupun sesekali kedengaran pertengkaran kecil yang dianggap normal bagi sebuah keluarga. Namun di sebalik keharmonian luaran itu, tersimpan dendam mendalam dalam diri Shauki yang berasa dirinya sering dipinggirkan dan diperlakukan tidak adil oleh ibunya.

     Peristiwa hitam ini bermula pada pagi Jumaat apabila Davi, anak kedua yang baru pulang dari kerja malam mendapati suasana rumah sunyi sepi secara luar biasa. Alangkah hancurnya hati pemuda itu apabila menemui ibunya terbujur kaku di dalam bilik manakala kakak sulung serta adik bongsunya ditemui tidak bernyawa di ruang tamu dengan mulut berbuih selain terdapat ruam merah pada kulit. Shauki pula ditemui terbaring lemas di hadapan bilik mandi seolah-olah turut menjadi mangsa kejadian. Kesemua mangsa segera dikejarkan ke hospital namun tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.

     Siasatan awal pihak polis menemui jalan buntu sehingga sebulan kemudian apabila hasil ujian forensik daripada Pusat Laboratorium Forensik (Puslapor) dikeluarkan. Bedah siasat mengesahkan kehadiran racun tikus yang tinggi serta sisa kapur barus di dalam organ dalaman mangsa sekali gus membuktikan wujud unsur jenayah yang disengajakan. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian, polis mengesan gerak-geri mencurigakan Shauki yang dilihat keluar masuk rumah dengan membawa peralatan memasak sebelum kejadian selain bukti pembelian racun tikus di kedai berhampiran.

     Setelah disoal siasat secara intensif, Shauki mengaku telah merancang pembunuhan itu dengan teliti. Motif utamanya adalah rasa sakit hati dan dendam kerana mendakwa ibunya pilih kasih. Pada malam kejadian, dia membakar kapur barus untuk membuatkan ahli keluarganya pengsan akibat terhidu wap tersebut. Setelah mereka tidak sedarkan diri, Shauki membancuh teh yang dicampur racun tikus lalu menyuapkannya kepada ibu dan adik-beradiknya seorang demi seorang.

     Bagi menutup jenayahnya, dia turut berlakon lemas dan menangis semasa upacara pengebumian bagi meraih simpati serta mengelakkan syak wasangka. Kini Abdullah Shauki Jamaluddin telah ditetapkan sebagai suspek utama dan berdepan hukuman berat. Dia didakwa di bawah pasal pembunuhan terancang yang boleh membawa hukuman maksimum iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Sekeluarga di Warakas"