Kisah Jutawan China yang Menyamar Jadi Miskin dalam Rancangan Cari Jodoh

     Kisah ini bermula dalam sebuah rancangan mencari jodoh popular di China pada tahun 2018 di mana seorang lelaki muda hadir sebagai peserta dengan penampilan yang sangat meyakinkan. Pada awalnya, kehadiran lelaki ini disambut dengan penuh keterujaan oleh 24 orang peserta wanita di atas pentas. Menerusu rupa paras yang tampan, gaya yang kemas serta budi bahasa yang sopan, dia berjaya menarik perhatian hampir kesemua wanita tersebut sehingga ada yang terus menekan butang cahaya 'minat' serta-merta tanpa berfikir panjang. Suasana di studio begitu meriah kerana para peserta menjangkakan lelaki ini datang daripada latar belakang keluarga yang berada.

     Walau bagaimanapun, suasana berubah secara drastik sebaik sahaja video pengenalan dirinya dimainkan. Di dalam video tersebut, lelaki itu menyatakan impiannya untuk membawa pasangan mengembara ke seluruh dunia, minum kopi di Burj Khalifa dan akhirnya menetap di sebuah bar kecil di Lijiang. Namun dia kemudian mendedahkan realiti hidupnya pada waktu itu. Dia mendakwa hanya bekerja sebagai penyambut tetamu dengan gaji bulanan sebanyak 3000 Yuan (sekitar RM1900). Dia juga tidak memiliki rumah atau kereta selain dibebani hutang kad kredit sebanyak puluhan ribu Yuan. Selain itu, dia menyatakan bahawa bapanya hanyalah seorang pekerja biasa dan ibunya mempunyai masalah pergerakan yang memerlukan penjagaan rapi.

     Mendengar pendedahan tersebut, sikap para peserta wanita berubah 180 darjah. Cahaya lampu minat yang pada mulanya menyala terang bertukar menjadi satu demi satu dipadamkan sehingga pentas menjadi gelap. Bukan sekadar menolak, segelintir peserta wanita mula melemparkan kata-kata penghinaan dan sindiran yang tajam. Ada yang melabel impiannya sebagai "tidak realistik dan naif. Malah ada yang mempersoalkan keberaniannya untuk datang mencari jodoh sedangkan dia sendiri tidak mampu menyara diri sendiri. Seorang peserta wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan hartanah secara bongkak menyatakan bahawa komisen bulanannya jauh lebih tinggi daripada gaji tahunan lelaki tersebut manakala seorang lagi menyindir bahawa gajinya tidak cukup pun untuk membeli satu set alat solek.

     Lelaki itu cuba mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa walaupun dia miskin sekarang, dirinya mempunyai impian dan sedang belajar daripada eksekutif atasan di syarikat Fortune 500 tempat dia bekerja. Hujah tersebut bagaimanapun terus dipatahkan oleh para wanita yang lebih mementingkan kestabilan kewangan jangka pendek. Mereka secara terang-terangan menunjukkan sikap materialistik dan enggan melihat potensi masa depan lelaki tersebut. Suasana di studio menjadi sangat tegang apabila berlaku pertikaman lidah antara lelaki itu dengan beberapa peserta wanita yang berasa seolah-olah mereka telah ditipu oleh penampilan awalnya yang nampak kaya.

      Setelah semua lampu dipadamkan dan dia ditolak secara rasmi, lelaki tersebut mengambil nafas dalam-dalam dan tersenyum tenang. Sebelum meninggalkan pentas, dia akhirnya mendedahkan identiti sebenarnya. Dia adalah seorang usahawan berjaya yang telah memulakan perniagaan sendiri beberapa tahun lalu dengan nilai kekayaan peribadi mencecah 5.7 bilion Yuan (sekitar RM3.7 bilion). Dia menjelaskan bahawa penyamaran itu adalah satu ujian untuk mencari seorang wanita yang benar-benar ikhlas dan sanggup berkongsi susah senang hidup, bukannya hanya mencintai harta bendanya semata-mata. Pendedahan ini mengejutkan seluruh studio sekali gus meninggalkan peserta wanita dalam keadaan kesal dan terpaku.

Catat Ulasan for "Kisah Jutawan China yang Menyamar Jadi Miskin dalam Rancangan Cari Jodoh"