Kisah Pembunuhan di Garak-dong: Apabila Cinta Bertukar Menjadi Obsesi Maut

     Kes pembunuhan Kim Jung-eun yang berlaku pada tahun 2016 di Garak-dong, Seoul telah menjadi salah satu episod paling hitam dalam sejarah jenayah Korea Selatan. Kes ini mendedahkan betapa bahayanya obsesi individu narsisistik dan betapa rapuhnya sistem perlindungan undang-undang terhadap mangsa hendap (stalking). Mangsa, seorang wanita kerjaya yang berdedikasi akhirnya menjadi korban kepada seorang lelaki yang menyembunyikan personaliti gelapnya di sebalik topeng kemewahan dan kasih sayang palsu.

    Segalanya bermula pada Mei 2015 apabila Jung-eun diperkenalkan kepada Han Ho-jun menerusi seorang rakan. Pada awal perkenalan, Han mempamerkan imej sebagai lelaki idaman di mana dia mendakwa sebagai penganalisis kewangan yang berjaya, berpendidikan dan memiliki ketinggian serta rupa paras yang menarik. Han juga bijak mengambil hati keluarga Jung-eun terutama bapa mangsa yang sedang menghidap kanser perut. Namun di sebalik sikap prihatin tersebut, Han sebenarnya seorang penganggur yang hidup dalam khayalan. Dia mula menunjukkan sifat posesif yang melampau dengan menuntut Jung-eun melaporkan setiap pergerakan dan melarangnya bertemu dengan sesiapa sahaja selain dirinya.

      Hubungan tersebut mula retak apabila Jung-eun menyedari bahawa seluruh latar belakang Han adalah sebuah penipuan besar. Apabila Jung-eun cuba memutuskan hubungan pada Februari 2016, Han mula menunjukkan wajah sebenarnya sebagai seorang pemangsa psikologi. Dia memulakan siri gangguan yang dahsyat seperti menghantar surat ugutan maut dan membawa mangsa ke Jambatan Jamsil untuk mengancam akan membunuh seluruh ahli keluarga Jung-eun jika dia ditinggalkan. Walaupun laporan polis telah dibuat, undang-undang Korea Selatan ketika itu sangat lemah di mana Han hanya dikenakan denda remeh sebanyak 80 000 Won (kira-kira RM270) yang secara tidak langsung seolah-olah memberikan lampu hijau kepada Han untuk bertindak lebih agresif tanpa rasa takut kepada pihak berkuasa.

     Puncak kepada kegilaan Han berlaku pada pagi 19 April 2016. Setelah berminggu-minggu mengintip mangsa dari bumbung bangunan bertentangan, Han mengambil kesempatan menyerang Jung-eun ketika dia bersendirian di rumah. Rakaman CCTV merakamkan detik memilukan apabila Jung-eun berlari keluar dari apartmennya berkaki ayam untuk menyelamatkan diri namun dikejar dengan kejam oleh Han yang bersenjatakan pisau. Di kawasan tempat letak kereta terbuka yakni di hadapan saksi dan penduduk yang ketakutan, Han menikam Jung-eun sebanyak enam kali di bahagian leher dan dada. Selepas memastikan mangsa tidak lagi bernyawa, Han mengancam pengawal keselamatan sebelum melarikan diri menggunakan motosikal yang telah disediakan lebih awal.

     Selepas penangkapannya, pihak polis menemui bukti bahawa pembunuhan tersebut telah dirancang dengan sangat teliti. Di dalam beg Han, ditemui peralatan set pembunuhan yang terdiri daripada asid sulfurik, tali nilon, dan pita pelekat. Malah, Han telah membalut pemegang pisau dengan kain kasa bagi memastikan tangannya tidak tergelincir atau tercedera semasa melakukan tikaman sekali gus menjadi satu bukti jelas tentang niat membunuh yang amat tekad. 

     Di mahkamah, Han cuba memberikan alasan tidak masuk akal dengan mendakwa dia membunuh mangsa kerana terlalu mencintai mangsa selain cuba memindahkan kesalahan kepada mangsa dengan menuduh Jung-eun yang menyerangnya terlebih dahulu. Keputusan muktamad mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Han Ho-jun. Walaupun keadilan dari segi undang-undang telah dicapai, nyawa Kim Jung-eun tidak dapat dikembalikan.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan di Garak-dong: Apabila Cinta Bertukar Menjadi Obsesi Maut"