Kes Ibu Nining: Pembunuhan di Atas Sejadah

Kes pembunuhan yang berlaku di Kampung Cipari, Cisarua, Kabupaten Bogor pada bulan November 2025 ini telah menggemparkan penduduk setempat dan menjadi tular di media sosial. Mangsa, seorang wanita warga emas berusia 59 tahun yang dikenali sebagai Ibu Nining ditemui maut dalam keadaan yang amat menyayat hati di dalam bilik tidurnya sendiri. Apa yang lebih memilukan, mangsa yang dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja dan pemurah itu maut di tangan individu yang sudah dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri.
Ibu Nining merupakan seorang ibu tunggal yang menyara hidup dengan mengusahakan kantin kecil di sebuah sekolah rendah berhampiran rumahnya. Sejak kematian suaminya pada tahun 2018, dia tinggal sendirian kerana anak-anaknya sudah berumah tangga dan menetap di kawasan lain. Disebabkan sifatnya yang ramah, Ibu Nining sangat disenangi oleh ibu bapa murid termasuklah suspek utama kes ini iaitu Nurul Aini Fauziah (32 tahun). Hubungan mereka sangat akrab sehinggakan mangsa menaruh kepercayaan penuh kepada Nurul untuk menguruskan wang tabungannya.

Konflik bermula daripada impian murni Ibu Nining yang ingin menunaikan ibadah umrah. Dia telah mengumpul wang hasil titik peluh berniaga kantin dan menyerahkannya kepada Nurul untuk disimpan secara harian dengan jumlah antara Rp50 000 hingga Rp100 000 (sekitar RM27). Sepanjang dua tahun, jumlah simpanan tersebut telah mencecah Rp12 450.000 (sekitar RM3400). Namun tanpa pengetahuan mangsa, Nurul yang gelap mata telah menggunakan seluruh wang tersebut untuk gaya hidup peribadi seperti membiayai rawatan kecantikan dan kos sara hidup harian.
Pada pertengahan November 2025, Ibu Nining menyatakan hasratnya untuk mengambil wang tersebut bagi mendaftarkan pakej umrah bersama anak perempuannya. Berita ini mencetuskan panik luar biasa kepada Nurul yang sedar bahawa wang tersebut sudah habis dibelanjakan. Pada hari kejadian, 20 November 2025, Nurul berkunjung ke rumah mangsa dalam keadaan hujan lebat. Pertemuan tersebut berakhir dengan pertengkaran mulut apabila Nurul akhirnya mengaku bahawa wang tersebut telah habis sekali gus menyebabkan Ibu Nining berasa sangat kecewa dan marah.

Kejadian sebenar berlaku sewaktu masuknya waktu Maghrib. Ketika Ibu Nining sedang khusyuk menunaikan solat dan berada dalam posisi sujud, Nurul bertindak luar kawalan. Dia mengambil sebatang kayu dari dapur dan memukul kepala mangsa berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, suspek mengambil pisau lalu menikam leher mangsa sebanyak lapan kali sehingga mangsa menghembuskan nafas terakhir di atas sejadah. Bagi memastikan mangsa benar-benar tidak bernyawa, suspek bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sebelum menyelimuti mayat tersebut dengan kain sarung.
Selepas melakukan perbuatan kejam tersebut, Nurul menunjukkan sikap yang sangat dingin dan tidak berperikemanusiaan. Dia sempat membersihkan kesan darah pada dirinya di bilik mandi mangsa kemudian melarikan motosikal Yamaha NMAX, telefon bimbit dan barang kemas milik Ibu Nining. Lebih mengejutkan yakni beberapa jam selepas pembunuhan, suspek sempat pergi ke salon kecantikan untuk melakukan rawatan wajah dan memuat naik hantaran di media sosial seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malah pada keesokan harinya, dia turut hadir melawat jenazah mangsa dan berpura-pura sedih di hadapan jiran tetangga.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Pihak polis dari Polsek Cisarua dan Polres Bogor berjaya menghidu penglibatan Nurul dalam tempoh kurang dari 8 jam selepas mayat ditemui. Bukti-bukti fizikal termasuk barang curi yang ditemui di rumah suspek serta keterangan saksi mengenai pertengkaran mereka menjadi bukti kukuh. Kini Nurul berdepan dengan pertuduhan di bawah Pasal 338, 341 dan 365 KUHP yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara.
Catat Ulasan for "Kes Ibu Nining: Pembunuhan di Atas Sejadah"