Kisah Pembunuhan Kejam Mary Eileen Sarmenta dan Allan Gomez

Mary Eileen Sarmenta merupakan seorang penuntut tahun akhir jurusan Agronomi di Universiti Filipina Los Banos (UPLB). Dia bukan saja dikenali sebagai seorang gadis yang cantik bahkan juga cerdik dan aktif dalam aktiviti kampus. Allan Gomez pula merupakan junior dan rakan karib Eileen, seorang pemuda yang disenangi ramai.
Di pihak yang bertentangan ialah Antonio Sanchez, Datuk Bandar Calauan yang memerintah dengan kuku besi. Sanchez adalah seorang ahli politik yang penuh kontroversi di mana dia mendakwa dirinya seorang yang sering membawa imej keagamaan tetapi pada masa yang sama mengamalkan gaya hidup mewah hasil daripada perjudian haram dan pengurusan perniagaan yang meragukan. Sanchez mempunyai pasukan keselamatan peribadi yang terdiri daripada anggota polis yang lebih setia kepada dirinya berbanding kepada undang-undang negara.

Segalanya bermula apabila Sanchez mula menyimpan obsesi terhadap Eileen selepas mangsa menemu bualnya untuk satu tugasan universiti. Sanchez mengarahkan orang-orang suruhannya untuk membawa gadis itu kepadanya. Pada 28 Jun 1993, Eileen dan Allan sedang berjalan menuju ke kenderaan mereka selepas meluangkan masa di sebuah kafe. Namun tiba-tiba sebuah ambulans rasmi milik kerajaan tempatan menghalang laluan mereka. Seramai tujuh orang lelaki, yang sebahagian besarnya adalah anggota polis aktif, telah menyerang mereka. Allan dipukul dengan pistol sehingga separuh sedar manakala Eileen diculik secara kasar.
Kedua-dua mangsa dibawa ke ladang peribadi Sanchez yang dikenali sebagai Emas Farm. Di sana, Eileen telah dibawa masuk ke dalam bilik tidur Sanchez di mana dia diperkosa. Sementara itu, Allan Gomez pula terus diseksa oleh pengawal-pengawal di bilik berasingan. Penderitaan Eileen tidak berakhir di situ. Selepas Sanchez "selesai" dengannya, dia dengan kejam memberitahu anak-anak buahnya, "Saya sudah habis, sekarang giliran kamu."
Dalam perjalanan untuk melupuskan mangsa, Allan Gomez telah ditembak mati dan mayatnya dicampakkan ke tepi jalan. Eileen pula dibawa ke sebuah kawasan ladang tebu yang sunyi. Di dalam van tersebut, dia diperkosa secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki berkenaan. Walaupun Eileen merayu sambil berlutut agar nyawanya diampunkan, ketua kumpulan tersebut yang bernama Luis Corcolon telah menyumbat sapu tangan ke dalam mulut Eileen lalu menembak tepat ke wajahnya.

Walau bagaimanapun, Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) mengambil alih kes tersebut selepas berlaku protes besar-besaran oleh pelajar UPLB. Bukti sains forensik menjadi kunci utama. Peluru yang membunuh Eileen dipadankan dengan senjata api rasmi seorang anggota polis. Salah seorang suspek, Avisado akhirnya pecah lubang dan memberikan keterangan penuh mengenai penglibatan Datuk Bandar Sanchez.

Perbicaraan kes ini berlangsung selama 16 bulan dan menjadi tumpuan media. Pada 11 Mac 1995, Hakim Harriet Demetriou menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebanyak tujuh kali kepada Antonio Sanchez dan enam yang lain. Hakim menyifatkan perbuatan mereka sebagai kejam. Keadilan ini hampir tercalar pada tahun 2019 apabila timbul ura-ura bahawa Sanchez akan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Kemarahan rakyat Filipina bagaimanapun meletus sekali lagi hingga memaksa Presiden ketika itu campur tangan untuk membatalkan pembebasan tersebut. Antonio Sanchez akhirnya meninggal dunia di dalam Penjara Bilibid pada 27 Mac 2021 dalam keadaan terhina sebagai seorang banduan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Mary Eileen Sarmenta dan Allan Gomez "