Kes Penderaan Kejam Kanak-Kanak 12 Tahun di Sukabumi

     Kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikenali dengan inisial NS telah mengejutkan penduduk Desa Bojongsari, Jampang Kulon, Sukabumi, Jawa Barat. Mangsa dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 20 Februari 2026 selepas bertarung nyawa selama lapan jam di unit rawatan rapi sebuah hospital tempatan. Apa yang lebih menyayat hati, kematian mangsa dipercayai akibat penganiayaan kejam yang dilakukan oleh ibu tirinya sendiri.

     Keadaan fizikal NS ketika dilarikan ke hospital berada dalam tahap yang sangat teruk. Pemeriksaan awal mendapati tubuh mangsa dipenuhi dengan luka melecur yang merangkumi hampir keseluruhan anggota badan seperti di bahagian lengan, kedua-dua belah kaki dan belakang badan. Selain kecederaan luaran, doktor pakar forensik turut menemui kesan luka bakar pada bahagian sensitif seperti bibir dan hidung mangsa yang menguatkan lagi dugaan adanya unsur kekerasan yang luar biasa.

​     Sebelum meninggal dunia, mangsa sempat memberikan pengakuan terakhir yang amat memilukan kepada bapa kandungnya iaitu Anwar Satibi. Dalam keadaan menanggung kesakitan, NS mendedahkan bahawa dia sering dipukul siang dan malam oleh ibu tirinya. Lebih kejam lagi, mangsa mendakwa telah dipaksa meminum air panas yang dipercayai menjadi punca kecederaan serius pada organ dalamannya. Hasil bedah siasat awal selama tiga jam turut menunjukkan adanya pembengkakan pada paru-paru mangsa walaupun punca sebenar  kematian masih menunggu keputusan ujian makmal lanjut.

     Bapa mangsa tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan penderitaan anak sulungnya itu. Dia mendedahkan bahawa ini bukanlah kali pertama penganiayaan berlaku. Pada tahun 2025, Anwar pernah melaporkan ibu tiri mangsa ke Unit PPA Polres Sukabumi kerana memukul NS dengan benda tumpul. Walau bagaimanapun, laporan tersebut berakhir dengan jalan damai selepas wanita berkenaan bersujud memohon maaf dan berjanji untuk berubah. Anwar kini menyesali keputusan tersebut dan mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan telus tanpa sebarang kompromi.

​      Kes ini kini sedang dalam siasatan pihak polis dan telah menjadi tular di laman media sosial. Orang ramai mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut dan menuntut keadilan sepenuhnya bagi pihak NS. Pihak hospital dan pakar forensik masih menjalankan analisis mendalam terhadap sampel organ yang dihantar ke Jakarta bagi menentukan sama ada terdapat bahan atau zat lain yang menyumbang kepada kematian mangsa di samping kecederaan fizikal yang dialaminya.



Catat Ulasan for "Kes Penderaan Kejam Kanak-Kanak 12 Tahun di Sukabumi"