Kisah Ritika Singh: Pempengaruh yang Maut di Tangan Suami Sendiri

     Ritika Singh, seorang wanita berpendidikan tinggi dalam bidang sains pada mulanya menjalani kehidupan yang penuh harapan. Di sebalik kerjaya sebagai seorang guru, dia membina pengaruh di Instagram melalui akaun The Satiana Soul di mana dirinya sering berkongsi tentang fesyen dan gaya hidup. Namun titik hitam dalam hidupnya bermula apabila dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Akash Gautam. Waalaupun ditentang hebat oleh keluarganya yang melihat kejanggalan pada perwatakan Akash, Ritika tetap memilih untuk mengikut kata hati dan berkahwin dengan lelaki itu pada tahun 2014 tanpa restu ibu bapa.

​Malangnya, kehidupan impian yang dibayangkan Ritika hancur berkecai sebaik sahaja perkahwinan bermula. Akash bukan sahaja membohongi Ritika mengenai status pekerjaannya sebagai pegawai kerajaan bahkan dia merupakan seorang lelaki yang sangat cemburu dan ganas. Sepanjang tempoh perkahwinan, Ritika sering menjadi mangsa deraan fizikal dan seksual. Ketakutan yang melampau akhirnya memaksa Ritika melarikan diri pada tahun 2018 yakni berpindah jauh sejauh 230 kilometer demi membina semula hidup yang lebih selamat.



    ​Selepas empat tahun bersembunyi, Ritika bertemu dengan Vipul Agarwal melalui media sosial. Kedua-duanya berkongsi nasib yang sama iaitu terperangkap dalam perkahwinan yang gagal. Mereka kemudian memutuskan untuk tinggal bersama di sebuah apartmen di kawasan Agra sementara menguruskan proses perceraian masing-masing. Namun tanpa mereka sedari, isteri kepada Vipul iaitu Dipali menyimpan dendam yang membara. Dipali kemudiannya menghubungi Akash lalu menghasut lelaki itu untuk bertindak terhadap pasangan tersebut.

 .

​     Ketelitian Akash dalam menjejaki Ritika sangat menakutkan. Walaupun Ritika sangat berhati-hati, satu kesilapan kecil telah memakan diri. Akash memantau setiap hantaran Instagram Story milik Ritika. Menerusi analisis sudut bangunan, pemandangan latar belakang  dan mercu tanda yang kelihatan dalam video pendek yang dimuat naik oleh Ritika, Akash menggunakan peta digital untuk mencari lokasi tepat kediaman mangsa. Akhirnya dia berjaya mengenal pasti Kompleks Apartmen Om Sri di Agra sebagai lokasi persembunyian Ritika.



.    Pada pagi 24 Jun 2022 yaknj ketika Ritika dan Vipul sedang bersiap-siap untuk merakam konten video, pintu apartmen mereka dirempuh oleh Akash dan empat orang rakan subahatnya. Keganasan berlaku dalam sekelip mata. Vipul dipukul dan dikurung di dalam bilik air manakala Ritika bergelut untuk nyawanya. Dalam keadaan tangan dan kaki yang terikat, Ritika dipaksa berhadapan dengan suaminya yang penuh dengan kebencian. ​Dalam satu tindakan yang sangat kejam, Akash menyeret Ritika ke balkoni tingkat empat. Meskipun mangsa merayu untuk dilepaskan, Akash dengan tanpa belas kasihan menolak isterinya sendiri dari ketinggian tersebut. Ritika jatuh ke halaman bawah dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Sementara itu, Vipul berjaya menyelamatkan diri selepas memecahkan tingkap bilik air dan menjerit meminta pertolongan jiran tetangga yang kemudian membawa kepada penangkapan para pelaku di tempat kejadian.

​     Hasil siasatan pihak polis mendedahkan penglibatan terancang antara Akash dan Dipali. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada kesemua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India atas kesalahan membunuh dan konspirasi jenayah.


Catat Ulasan for "Kisah Ritika Singh: Pempengaruh yang Maut di Tangan Suami Sendiri"