Bagaimana Perang AS 'Memakan' Anggota Mereka Sendiri

Bercerita tentang ketenteraan Amerika Syarikat, terdapat lompang besar dalam aspek kemanusiaan yang akhirnya memakan diri sendiri apabila ramai anggota tentera mereka pulang dengan jiwa yang hancur. Hakikat sebenar bahawa peperangan ini turut meragut kewarasan dan moral anggota mereka sendiri yang terperangkap dalam trauma berpanjangan. Beberapa kes tragis veteran selepas tahun 2000 berikut membuktikan bahawa peperangan ini sebenarnya meninggalkan luka mendalam yang tidak mampu diubati.
1. Jacob David George
Salah satu kes yang paling menyayat hati melibatkan Jacob David George, seorang askar payung terjun yang berkhidmat sebanyak tiga kali di Afghanistan. Kepulangan Jacob ke tanah air tidak membawa ketenangan. Dia sebaliknnya dihantui oleh memori melakukan serbuan ke atas rumah orang awam dan melihat ketakutan pada wajah wanita serta kanak-kanak. Kegilaan yang dialaminya berbentuk protes moral yang ekstrem di mana pada tahun 2012, dia bertindak membuang pingat keberaniannya sebagai tanda penolakan terhadap status raksasa yang dirasainya. Walaupun Jacob cuba menjadi aktivis keamanan, beban rasa bersalah yang dipanggil kecederaan moral itu terlalu berat sehingga dia memilih untuk membunuh diri pada September 2014.

2. Tomas Young
Lumpuh seluruh badan hanya selepas lima hari bertugas di Iraq, Tomas menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda sambil dihantui perasaan bahawa peperangan tersebut adalah satu usaha yang sia-sia. Dia berasa berdosa terhadap rakyat Iraq yang terkorban dan rakan-rakan seperjuangannya yang mati dalam konflik tersebut. Sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2014, Tomas menulis sebuah surat terbuka yang sangat pedas kepada pemimpin negara. Dalam surat tersebut, Tomas menyatakan dengan tegas bahawa dia tidak dapat memaafkan dirinya sendiri mahupun para pemimpin atas segala kemusnahan yang telah berlaku di Iraq.

3. Daniel Somers
Daniel terlibat dalam ratusan misi berbahaya di Iraq yang memaksanya menyimpan rahsia kerajaan dan melihat wajah-wajah mangsa yang tidak dapat dilupakan. Dalam surat terakhirnya yang menyedihkan pada Jun 2013, Daniel mengakui bahawa jiwanya telah hancur kerana dipaksa melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia.

4. Kevin Benderman
Sekembalinya dari Iraq, dia tidak dapat memadamkan memori tentang seorang kanak-kanak perempuan yang tangannya terbakar teruk akibat bom tanpa sebarang bantuan diberikan. Trauma tersebut menghantui setiap tidurnya sehingga dia mengambil keputusan untuk menjadi conscientious objector (penentang atas dasar hati nurani). Apabila diarahkan kembali ke Iraq untuk kali kedua pada tahun 2005, Kevin lebih rela dipenjarakan daripada terus dihantui rasa bersalah membunuh orang awam. Bagi Kevin, penjara fizikal adalah jauh lebih baik berbanding penjara mental yang dicipta oleh peperangan.

5. Clay Hunt
Sebagai seorang penembak tepat Marin yang berkhidmat di Iraq dan Afghanistan, Clay menderita PTSD yang sangat kronik selepas melihat ramai rakan baiknya gugur di medan perang. Walaupun dia cuba mengubat luka batinnya dengan membantu veteran lain melalui badan kebajikan, trauma peperangan tetap mengejarnya tanpa henti. Pada usia 28 tahun, Clay akhirnya tewas kepada tekanan mental tersebut dan membunuh diri pada tahun 2011. Kematiannya tidak sia-sia kerana namanya kini diabadikan dalam undang-undang Amerika Syarikat iaitu Clay Hunt SAV Act yang bertujuan untuk memperkasakan bantuan kesihatan mental bagi veteran lain yang sedang bergelut dengan trauma yang sama.
Catat Ulasan for "Bagaimana Perang AS 'Memakan' Anggota Mereka Sendiri"