Kisah Kematian Pengarah Kim yang Benar-Benar Menyedihkan

Kes yang mengejutkan Korea Selatan ini berpusat kepada susuk peribadi Kim Chang-min, seorang pengarah filem berbakat yang dikenali melalui karya-karya filem pendek dan dokumentari. Di sebalik kerjaya seninya, dia merupakan seorang bapa tunggal yang amat berdedikasi dalam membesarkan anak lelaki tunggalnya yang kini berusia 14 tahun. Anak kesayangannya itu merupakan seorang remaja istimewa yang menghidap autisme. Hubungan antara mereka berdua sangat akrab kerana Pengarah Kim adalah penjaga tunggal dan tunggak kekuatan utama buat remaja tersebut.
Kejadian hitam ini bermula pada lewat malam 20 Oktober 2025. Segalanya tercetus atas dasar kasih sayang seorang bapa apabila si anak menyatakan keinginan untuk makan katsu (potongan daging goreng), Pengarah Kim tanpa ragu membawanya ke sebuah restoran katsu yang beroperasi 24 jam. Walau bagaimanapun, suasana harmoni tersebut berubah menjadi tegang apabila muncul sekumpulan pemuda berusia 20-an di premis yang sama. Dipercayai berlaku salah faham atau rasa kurang senang kumpulan pemuda tersebut terhadap tingkah laku anak autisme Pengarah Kim yang mungkin mengeluarkan bunyi bising hingga mencetuskan pertengkaran mulut.

Situasi yang pada mulanya sekadar perang mulut bertukar menjadi serangan fizikal yang sangat zalim. Salah seorang daripada pemuda tersebut bertindak agresif dengan mencekik dan memukul Pengarah Kim bertubi-tubi di hadapan mata anaknya sendiri. Tidak cukup dengan itu, dia diseret ke kawasan yang tidak dilindungi oleh kamera litar tertutup (CCTV) untuk meneruskan serangan. Walaupun Pengarah Kim dilaporkan sudah menunjukkan isyarat menyerah kalah, pelaku tetap tidak berhenti membelasahnya sehingga beliau jatuh pengsan. Akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, doktor mengesahkannya mengalami mati batang otak. Setelah dua minggu bertarung nyawa di hospital, Pengarah Kim akhirnya meninggal dunia sekali gua meninggalkan anaknya yang trauma setelah menyaksikan sendiri bapanya dibantai tanpa belas kasihan.

Kematian Pengarah Kim bukan sahaja meninggalkan duka mendalam malah mencetuskan kemarahan rakyat Korea Selatan terhadap sistem perundangan negara itu. Hingga awal April 2026, pelaku masih belum ditahan di dalam penjara kerana pihak mahkamah menolak waran tangkap atas alasan mereka mempunyai alamat tetap dan tidak berisiko melarikan diri. Keputusan ini dianggap tidak adil memandangkan keganasan mereka telah menyebabkan kehilangan nyawa. Namun atas desakan orang awam dan campur tangan Menteri Kehakiman, satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan di Pejabat Pendakwa Raya Daerah Uijeongbu bagi menyemak semula kes ini di bawah pertuduhan yang lebih berat iaitu serangan yang mengakibatkan kematian.

Di sebalik pengakhiran yang memilukan, Pengarah Kim meninggalkan jasa terakhir sebagai seorang hero sejati. Sebagai seorang penderma organ yang berdaftar, pemergian Pengarah Kim telah memberikan sinar baharu apabila organ-organnya berjaya menyelamatkan empat nyawa pesakit lain. Kini tumpuan orang ramai beralih kepada kebajikan anaknya yang berusia 14 tahun itu. Remaja tersebut kini berada di bawah jagaan bapa saudaranya dan sedang menjalani rawatan psikologi yang intensif. Perjuangan untuk mendapatkan keadilan buat Pengarah Kim masih berterusan dengan harapan agar pelaku menerima hukuman setimpal demi membela nasib seorang bapa yang terkorban hanya kerana ingin melindungi anaknya.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Pengarah Kim yang Benar-Benar Menyedihkan "