Kisah Pembunuhan Kejam Quyen Ngoc Nguyen

Kes pembunuhan Quyen Ngoc Nguyen ini berlaku pada Ogos 2017 di Tyne and Wear, England. Mangsa iaitu seorang wanita warga Vietnam berusia 28 tahun, merupakan seorang ibu tunggal yang gigih bekerja di salon kuku serta menguruskan perniagaan penyewaan rumah bagi membantu komuniti pendatang. Walau bagaimanapun, sifat amanah dan dedikasi Quyen terhadap kerjayanya telah dimanipulasi oleh dua lelaki yang mempunyai niat jahat yang amat mendalam.

Hubungan antara Quyen dan salah seorang pelaku, Stephen Unwin bermula atas dasar profesional. Unwin merupakan seorang tukang penyelenggara rumah (handyman) yang sering digunakan khidmatnya oleh Quyen untuk membaiki hartanah yang dia uruskan. Disebabkan sudah biasa berurusan, Quyen tidak menaruh sebarang curiga apabila Unwin menjemputnya ke kediamannya di St Oswald’s Terrace atas alasan untuk membincangkan urusan kerja. Malangnya, jemputan itu hanyalah umpan yang dirancang oleh Unwin bersama rakan subahatnya, William McFall. Kedua-dua lelaki ini merupakan bekas banduan yang pernah membunuh dalam kes berasingan pada tahun 1990-an dan bertemu ketika menjalani hukuman di dalam penjara.
Pada petang 14 Ogos 2017 yakni sebaik sahaja Quyen melangkah masuk ke rumah Unwin, dia telah ditawan dan diseksa selama lebih lima jam. Dalam tempoh tersebut, mangsa melalui penderitaan yang tidak terbayangkan di mana dia dipukul, diserang secara seksual dengan kejam dan dipaksa menyerahkan kod pin kad bank miliknya. Sifat dingin kedua-dua pelaku terbukti apabila mereka sempat merakam swafoto bersama dalam keadaan gembira malah sempat makan kari di sebelah mangsa yang sedang cedera parah, sementara Unwin keluar seketika untuk mengeluarkan wang sebanyak £1000 dari akaun Quyen.

Setelah memperoleh apa yang mereka mahukan, kedua-dua penjenayah ini memutuskan untuk menghapuskan bukti dengan cara yang paling kejam. Quyen yang ketika itu dalam keadaan tidak berdaya namun dipercayai masih hidup telah dibungkus dengan kain cadar sebelum dimasukkan ke dalam but kereta Audi miliknya sendiri. Mereka memandu ke kawasan terpencil di Success Road lalu membakar kenderaan tersebut. Analisis forensik yang memilukan mendedahkan terdapat sisa jelaga di dalam saluran pernafasan Quyen yang mengesahkan bahawa mangsa masih bernafas dan mati akibat dibakar hidup-hidup di dalam but kereta tersebut.

Pihak berkuasa pada mulanya sukar mengenal pasti identiti mangsa kerana keadaan mayat yang rentung sepenuhnya. Namun penemuan cebisan kecil pasport Vietnam milik Quyen yang terselamat daripada marakan api telah menjadi kunci utama siasatan. Melalui rakaman CCTV yang menunjukkan Quyen memasuki rumah Unwin dan bukti digital daripada telefon bimbit yang mengandungi perancangan serangan tersebut, polis berjaya memberkas kedua-dua suspek. Walaupun di mahkamah mereka cuba menyalahkan satu sama lain, juri hanya mengambil masa yang singkat untuk mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh dan serangan seksual.
Pada April 2018, Stephen Unwin dan William McFall dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Quyen Ngoc Nguyen"