Kisah Pony yang Benar-Benar Menyedihkan

Segala-galanya bermula di kawasan hutan tropika Kalimantan, Indonesia sekitar pertengahan tahun 1990-an. Pony dilahirkan sebagai seekor orang utan betina yang sihat. Nasib Pony bagaimanapun berubah sekelip mata apabila ibu Pony dibunuh oleh pemburu haram. Tanpa perlindungan ibu, Pony yang masih bayi telah ditangkap lalu dijual di pasaran gelap sebelum akhirnya jatuh ke tangan seorang pemilik rumah pelacuran di sebuah perkampungan terpencil di Kereng Pangi, Kalimantan Tengah.
Di kampung tersebut, Pony tidak dilayan sebagai seekor haiwan. Pony sebaliknya dijadikan sebagai hamba seks untuk melayan pekerja-pekerja ladang kelapa sawit di kawasan sekitar. Bagi menjadikan Pony menarik di mata pelanggan manusia, Pony melalui penyeksaan fizikal yang amat dahsyat. Setiap hari, seluruh bulu di badann Pony dicukur licin sehingga kulit Pony mengalami keradangan dan luka. Lebih menyedihkan, Pony dipakaikan alat solek, gincu malah disembur minyak wangi bagi meniru penampilan wanita manusia.
Pony dirantai di atas sebuah pelantar kayu di dalam bilik yang gelap dan sempit. Pony diajar secara paksa untuk melakukan aksi-aksi menggoda apabila melihat lelaki mendekati Pony. Setiap kali pelanggan datang, Pony akan berbaring dan memusingkan badan sebagai tanda menyerah diri. Pemilik Pony mengenakan bayaran yang sangat murah. Namun bagi komuniti tersebut, Pony adalah mesin wang yang sangat berharga sehingga penduduk kampung sanggup melindungi Pony daripada pihak berkuasa.

Penderitaan Pony akhirnya sampai ke pengetahuan Yayasan Penyelamatan Orangutan Borneo (BOS Foundation). Walau bagaimanapun, usaha untuk menyelamatkan Pony bukanlah mudah. Penduduk kampung yang menganggap Pony sebagai aset ekonomi utama bertindak agresif dan menghalang kemasukan aktivis. Pemilik Pony enggan melepaskan Pony kerana dia mendakwa haiwan itu adalah sumber rezekinya.
Hanya pada Februari 2003 yakni selepas melalui rundingan yang buntu, satu operasi besar-besaran melibatkan 35 orang anggota polis bersenjata lengkap telah dijalankan. Pasukan penyelamat terpaksa berhadapan dengan ancaman penduduk kampung yang bersenjatakan parang dan sumpit beracun. Akhirnya dalam suasana yang sangat tegang, Pony berjaya dirampas sebelum dibawa keluar dari kawasan tersebut untuk rawatan kecemasan.
Setibanya di pusat perlindungan Nyaru Menteng, keadaan mental Pony sangat membimbangkan. Pony mengalami trauma psikologi yang kronik di mana Pony akan menjerit ketakutan jika didekati oleh lelaki dewasa namun berasa lebih selamat dengan wanita. Kulit Pony yang sering dicukur menyebabkan Pony mudah terkena jangkitan kuman. Pony langsung tidak mempunyai kemahiran asas untuk hidup sebagai orang utan liar kerana telah terlalu lama disosialisasikan sebagai manusia.

Pihak pakar cuba mengintegrasikan semula Pony ke dalam habitat asal melalui sekolah hutan. Namun percubaan untuk melepaskan Pony ke pulau pra-pemerduan gagal berkali-kali. Pony tidak tahu cara memanjat pokok dengan betul, tidak tahu mencari makanan semula jadi. Pony bahjan sering dibuli oleh orang utan lain. Pony terlalu bergantung kepada manusia untuk kelangsungan hidupnya, kesan daripada enam tahun penderaan yang merampas identiti asal Pony sebagai penghuni hutan.
Hingga kini, Pony dilaporkan masih berada di bawah jagaan rapi di Pusat Pemulihan Orang Utan Nyaru Menteng. Pony kini sudah berusia dan fizikalnya nampak lebih sihat dengan bulu yang telah tumbuh semula. Pony kini ditempatkan di sebuah kompleks khas bersama beberapa ekor orang utan lain yang mempunyai masalah serupa.
Catat Ulasan for "Kisah Pony yang Benar-Benar Menyedihkan "