Kes Pembunuhan Kejam Siti Munawarah

    Pada awal bulan Julai 2026 bertempat di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia seorang wanita muda yang bernama Siti Munawarah telah menjadi mangsa pembunuhan kejam. 

     Berdasarkan maklumat siasatan, Siti Munawarah, 24 tahun pada mulanya ingin mencari rakan berbual. Dalam usaha tersebut, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Rofiq (26 tahun) melalui sebuah aplikasi cari pasangan. Tanpa disedari, Rofiq bukanlah seorang individu yang asing dengan kegiatan jenayah. Lelaki itu mempunyai rekod lampau melibatkan kes kecurian motosikal dan didapati tidak menunjukkan tanda-tanda insaf selepas menjalani hukuman. Komunikasi antara mereka beralih ke aplikasi WhatsApp di mana Rofiq menggunakan muslihat dengan berpura-pura bersikap sopan dan menyatakan hasrat untuk membawa hubungan tersebut ke tahap yang lebih serius dengan memperkenalkan Siti kepada keluarganya.

     Namun di sebalik kata-kata manis yang dilontarkan, Rofiq sebenarnya telah merancang untuk merampas harta benda milik mangsa. Rofiq turut melibatkan seorang rakan yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya iaitu Humaidi (19 tahun) untuk membantu melancarkan rancangan kejam tersebut. Persiapan rapi dilakukan oleh Rofiq termasuk menyediakan seutas tali sebelum hari pertemuan berlangsung yakni membuktikan bahawa tindakan mereka bukanlah satu kejadian yang tidak disengajakan tetapi sebaliknya merupakan satu pembunuhan terancang.

    Detik hitam itu berlaku apabila Siti bersetuju untuk bertemu dengan Rofiq di Jalan Cokro Aminoto, Kota Probolinggo. Menggunakan alasan ingin membawa Siti menemui ibu bapanya, Rofiq membawa mangsa ke kawasan yang jauh dari kawasan perumahan iaitu ke kawasan kebub di Desa Alas Sumur Kulon, Kecamatan Keraksaan. Apabila tiba di lokasi yang sepi, Rofiq menghentikan motosikal dengan alasan ingin membuang air kecil. Ini adalah taktik untuk melengahkan mangsa dan memastikan keadaan sekeliling benar-benar selamat bagi mereka untuk melancarkan serangan. 

     Apabila mangsa dalam keadaan leka dan tidak bersedia, pelaku terus menjerut mangsa menggunakan seutas tali yang dibawanya. Setelah memastikan mangsa tidak lagi bernyawa akibat perbuatan keji tersebut, kedua-dua suspek bertindak menyumbat mayat mangsa ke dalam sebuah perigi sempit bagi melupuskan bahan bukti.

     Kehilangan Siti disedari oleh keluarga selepas mangsa tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi. Setelah dua hari usaha pencarian dijalankan, keluarga akhirnya membuat laporan orang hilang kepada pihak polis. Kebenaran akhirnya terbongkar pada 3 Julai apabila seorang pekerja kebun yang ingin mengambil air di perigi tersebut menemui sesuatu yang mencurigakan di dalam lubang berkenaan yang kemudiannya disahkan sebagai mayat Siti Munawarah.

       Gerak kerja pantas pihak berkuasa berjaya menjejaki pelaku kurang daripada 24 jam selepas identiti mangsa disahkan. Rofiq dan Humaidi ditangkap di kediaman masing-masing tanpa melawan berserta bukti barang-barang milik mangsa termasuk cincin dan motosikal yang sempat dibuang ke dalam sungai untuk menghapuskan jejak. Susulan perbuatan kejam tersebut, kedua-dua suspek kini berdepan dengan pertuduhan berat di bawah undang-undang Indonesia termasuk Pasal 340 KUHP mengenai pembunuhan berancang yang membawa hukuman maksimum iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Siti Munawarah"