16 Kanak-kanak Dikurung Selama 4 Tahun di Rumah Keluarga Sendiri Ditemui

AMERIKA SYARIKAT– Pihak berkuasa di Ohio mendedahkan penemuan mengejutkan apabila 16 orang kanak-kanak diselamatkan daripada sebuah rumah usang di kawasan luar bandar selepas dikurung dalam satu bilik dengan keadaan yang sangat daif selama hampir empat tahun.
Dalam kejadian yang disifatkan sebagai kegelapan mutlak oleh Peguam Negara Ohio, Andy Wilson, semua mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara setahun setengah hingga 18 tahun itu ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
Menurut pihak berkuasa, mangsa-mangsa yang merupakan adik-beradik itu hidup dalam suasana kotor yang dipenuhi najis manusia. "Kebanyakan haiwan ternakan kami dijaga dalam keadaan yang lebih baik berbanding kanak-kanak ini," kata Syerif Vinton County, Ryan Cain yang menyifatkan lokasi tersebut sebagai kawasan yang mempunyai tahap bakteria yang sangat tinggi dan menjijikkan.
BHasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut menghabiskan hampir seluruh masa mereka di dalam sebuah bilik bersaiz kira-kira 12 x 12 kaki. Keadaan mereka amat membimbangkan di mana sesetengahnya tidak mampu bercakap manakala seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mempunyai masalah perkembangan tidak mampu mengeja namanya sendiri.
Pihak berkuasa menemui kanak-kanak tersebut secara tidak sengaja ketika menjalankan waran geledah bagi satu kes siasatan lain. Semua mangsa kini di bawah jagaan pihak berkuasa dengan tujuh daripadanya dikejarkan ke hospital di Columbus manakala dua lagi diterbangkan ke pusat trauma tahap satu menggunakan helikopter. Salah seorang kanak-kanak dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa diberikan bantuan pernafasan.

N Susulan penemuan itu, ibu bapa mangsa serta datuk dan nenek mereka iaitu Gary Siders Jr, Gary Siders Sr, Christina Siders dan Elizabeth Siders telah didakwa di mahkamah pada Rabu atas 16 pertuduhan membahayakan kanak-kanak tahap kedua. Pendakwa Raya Vinton County, William Archer, menyatakan bahawa kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan, dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak $300 000 (sekitar RM1.4 juta) bagi setiap individu. Pihak pendakwa juga menegaskan bahawa kes ini bukanlah kes pemerdagangan manusia tetapi sebaliknya insiden penderaan dalam keluarga.
Kes ini telah menggemparkan penduduk di perkampungan kecil Hamden yakni sebuah kawasan yang mempunyai kurang daripada 1000 penduduk. Jiran tetangga mengaku langsung tidak menyedari kehadiran kanak-kanak di rumah berkenaan sepanjang tempoh keluarga tersebut mendiaminya.
"Mereka sangat mahir menyembunyikan kanak-kanak ini daripada pandangan penyiasat dan orang luar," jelas Wilson sambil menambah bahawa dia masih trauma dengan bau busuk di lokasi kejadian walaupun hampir 24 jam telah berlalu. Pihak pendakwaan kini sedang berusaha mendapatkan hak penjagaan sementara ke atas kesemua 16 kanak-kanak tersebut bagi memastikan kebajikan dan masa depan mereka terbela.
Catat Ulasan for "16 Kanak-kanak Dikurung Selama 4 Tahun di Rumah Keluarga Sendiri Ditemui"