Kisah Pembunuhan Kejam Zhao Peichen

Pada bulan Ogos 2018 bertempat di negara China, seorang guru tadika muda iaitu Zhao Peichen telah kehilangan nyawa akibat keganasan pemandu perkhidmatan e-hailing. Kes ini mendedahkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus keselamatan syarikat e-hailing gergasi, Didi Chuxing pada waktu itu.
Zhao Peichen, berusia 22 tahun merupakan seorang gadis yang dikenali oleh rakan serta keluarga sebagai individu yang lemah lembut, bertanggungjawab dan penuh dengan impian. Dia merupakan lepasan Universiti Wenzhou dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tentang pelaku yang bernama Zhong Yuan, dia yang lahir pada tahun 1991 pula memiliki latar belakang sangat berbeza. Zhong Yuan merupakan seorang kanak-kanak tertinggal (left-behind child) yang dibesarkan oleh datuk dan neneknya. Kegagalan dalam perniagaan serta keterlibatan mendalam dalam perjudian dalam talian telah menyebabkan Zhong Yua menanggung hutang yang besar. Keputusannya untuk menjadi pemandu e-hailing bukanlah didorong oleh kerjaya tetapi sebaliknya merupakan satu cubaan untuk mencari mangsa bagi melangsaikan beban hutang tersebut.

Kejadian ini sebenarnya mempunyai petanda awal yang diabaikan. Sehari sebelum pembunuhan Zhao, seorang lagi penumpang wanita hampir menjadi mangsa Zhong Yuan. Penumpang tersebut telah membuat laporan rasmi kepada Didi mengenai gelagat mencurigakan pemandu itu..Walau bagaimanapun, pihak platform gagal mengambil tindakan segera seperti menyekat akaun pemandu tersebut. Kealpaan ini memberikan ruang kepada Zhong Yuan untuk terus beroperasi.

Pada 24 Ogos 2018, Zhao menempah perkhidmatan tersebut untuk menghadiri majlis hari jadi rakan. Apabila menyedari kenderaan itu dipandu ke laluan yang sunyi dan bukannya laluan utama, Zhao mula berasa cemas sebelum menghantar mesej kecemasan kepada rakannya pada jam 2:14 petang. Dalam kejadian yang sangat kejam itu, suspek telah merompak wang milik mangsa dan mendapatkan kata laluan perbankan dalam talian mangsa. Suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan terpencil berhampiran sebuah kampung sebelum merogol mangsa di dalam ruang kenderaan yang sempit itu. Laporan forensik kemudian mengesahkan mangsa sempat melawan dengan sengit sebelum meninggal dunia yakni terbukti dengan kecederaan pada tangan mangsa dan penemuan darah suspek di celah kuku mangsa. Sesudah itu, suspek mengheret mayat mangsa ke tebing gunung lalu mencampakkannya ke bawah.
Malangnya, sistem sokongan pelanggan Didi yang bersifat birokratik dan kaku telah melengahkan masa kritikal. Meskipun rakan mangsa dan pihak polis cuba mendapatkan maklumat pemandu, pihak syarikat berulang kali menolak dengan alasan privasi hingga menyebabkan masa emas untuk menyelamatkan nyawa mangsa terlepas begitu sahaja.

Selepas usaha pencarian besar-besaran oleh polis dan pasukan penyelamat sukarela, mayat Zhao ditemui di kawasan gaung di pergunungan. Penemuan ini menimbulkan kemarahan awam terhadap Didi Chuxing. Syarikat tersebut dipaksa mengakui kegagalan mereka dalam mengutamakan aspek keselamatan penumpang berbanding pengembangan perniagaan. Sebagai respons kepada tekanan awam dan arahan kawal selia kerajaan, Didi terpaksa menggantung perkhidmatan Shunfengche (carpooling) di seluruh China dan memecat beberapa pegawai kanan pada waktu tersebut. Suspek, Zhong Yuan akhirnya ditangkap oleh pihak berkuasa. Dia yang dibicarakan atas tuduhan merompak, merogol dan membunuh telah dijatuhkan hukuman mati. Hukuman tersebut dilaksanakan pada 30 Ogos 2019.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Zhao Peichen"