Kisah Kematian Keluarga Jonathan Gerrish di "Lembah Iblis"


     Pada bulan Ogos 2021 bertempat di Hutan Negara Sierra, California, Amerika Syarikat, tiga sekeluarga maut semasa melakukan aktiviti pendakian. Pada awalnya, kematian mereka dianggap sebagai misteri memandangkan tiada petunjuk awal dapat menjelaskan mengapa sebuah keluarga yang sihat dan berpengalaman dalam aktiviti luar boleh meninggal dunia secara serentak di kawasan denai yang tidaklah terlalu jauh dari kenderaan mereka.

    Jonathan Gerrish iaitu seorang jurutera perisian berusia 45 tahun bersama isterinya Ellen Chung, 31 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia setahun, Miju telah memutuskan untuk mendaki laluan Savage Lundy Trail di kawasan Devil’s Gulch (Lembah Iblis). Pasangan ini yang telah berpindah ke kawasan tersebut untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang berhampiran dengan alam semula jadi dianggap sebagai pendaki yang berpengalaman. Namun pada 16 Ogos 2021, pengasuh bayi mereka mendapati keluarga tersebut tidak pulang ke rumah selama beberapa hari yang mencetuskan tindakan segera daripada pihak polis selepas laporan kehilangan dibuat.

     Pencarian yang dilakukan pihak berkuasa menemui kenderaan jenis Ford F-150 milik keluarga itu ditinggalkan di pintu masuk denai tersebut. Tidak lama kemudian, mayat Jonathan, Ellen, bayi mereka dan anjing peliharaan mereka, Oski ditemui dalam keadaan yang misteri. Tiada tanda-tanda serangan haiwan, tiada kesan pergelutan dan barang-barang peribadi mereka berada dalam keadaan tersusun. Situasi ini mendorong pihak polis untuk melancarkan siasatan besar-besaran yang melibatkan lebih 30 agensi dengan teori-teori luar biasa seperti keracunan gas daripada bekas lombong emas lama atau serangan bahan kimia turut disiasat.

     Walau bagaimanapun, hasil bedah siasat dan siasatan forensik yang teliti akhirnya merungkai segala persoalan. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa punca kematian kesemua mangsa adalah strok haba (hyperthermia) yang ekstrem. Pada hari kejadian, suhu di kawasan denai tersebut melonjak sehingga 42 darjah Celsius. Kawasan yang didaki mereka merupakan kawasan yang telah terjejas akibat kebakaran hutan pada tahun 2018 sekali gus menyebabkan ketiadaan pokok besar yang mampu memberikan teduhan daripada terik matahari. Maka dalam keadaan suhu yang melampau, badan manusia terutamanya bayi dan individu yang melakukan aktiviti fizikal akan kehilangan air dengan sangat cepat yang membawa kepada dehidrasi kronik dan kegagalan fungsi organ.


    Bukti daripada telefon pintar Jonathan mendedahkan detik-detik terakhir yang amat tragis. Mereka dipercayai telah terperangkap dalam suhu yang tidak dijangka dan kekurangan bekalan air yang mencukupi untuk perjalanan balik. Pesanan ringkas yang tidak sempat dihantar menunjukkan bahawa mereka cuba meminta bantuan. Kawasan tersebut bagaimanapun tidak mempunyai liputan rangkaian telefon bimbit. Kedudukan mayat yang ditemui menunjukkan mereka cuba berusaha sedaya upaya untuk kembali ke arah kenderaan namun mereka tewas kepada keletihan dan strok haba hanya pada jarak kira-kira 1.5 batu (2.4 kilometer) dari tempat kereta mereka diletakkan.

    Kes ini menjadi pengajaran besar buat penggemar aktiviti luar terutamanya dalam aspek persediaan. Pihak berkuasa menekankan bahawa walaupun seseorang itu berpengalaman, keadaan cuaca yang berubah dengan pantas dan perancangan yang kurang teliti seperti membawa bekalan air yang tidak mencukupi untuk keadaan suhu ekstrem boleh membawa padah yang tidak terduga.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Keluarga Jonathan Gerrish di "Lembah Iblis""