Tiga Wanita "Cantik" Ditahan Selepas Tikam Mangsa Hingga Mati

     AMERIKA SYARIKAT – Tiga wanita termasuk dua beradik telah ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh berhubung insiden tikaman maut yang meragut nyawa seorang wanita berusia 32 tahun minggu lalu di Del Rio, Texas. 

    Menurut kenyataan rasmi Jabatan Polis Del Rio, ketiga-tiga suspek yang dikenal pasti sebagai Kitty Mia Diaz, 21 tahun, adiknya Amaya Cookie Diaz, 19 tahun serta rakan mereka, Kyandra Renee Faz, 21 tahun didakwa memukul dan menikam mangsa, Caroline Pena hingga mati dalam satu pergaduhan di luar sebuah kediaman di East 10th Street.

     Kejadian terbongkar apabila pihak polis menerima laporan mengenai seorang wanita yang mengalami kecederaan akibat beberapa tikaman di Pusat Perubatan Wilayah Val Verde pada petang Khamis. Siasatan awal mendapati berlaku pertelingkahan antara mangsa dan ketiga-tiga suspek di lokasi kejadian.

     Berdasarkan afidavit punca yang munasabah, rakaman video pergaduhan menunjukkan Pena yang juga merupakan ibu kepada lima orang anak tiba di rumah Faz dengan menaiki sebuah trak pikap hitam. Tidak lama kemudian, dua beradik terbabit tiba dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Chrysler sebelum terus menghampiri mangsa. Menerusi rakaman tersebut, Amaya Diaz dilihat keluar dari kenderaannya dengan membawa objek yang dipercayai sebagai pisau di tangan kanannya.

     Polis menyatakan bahawa Amaya Diaz kemudiannya terlibat dalam pergaduhan dengan mangsa dan dilihat menikam bahagian belakang tubuh Pena hingga darah kelihatan pada baju mangsa. Kitty Diaz dan Faz kemudiannya menyertai serangan tersebut dengan melakukan kekerasan fizikal terhadap mangsa sebelum pergaduhan itu akhirnya berjaya dileraikan dan kesemua suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

    Ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap tidak lama kemudian. Menurut afidavit, pihak polis menahan dua beradik itu di sebuah kediaman yang turut dihuni oleh anak Kitty Diaz. Ketika pihak berkuasa tiba, kedua-dua wanita itu didapati telah selesai mandi dan menukar pakaian. Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman tersebut turut menemui pakaian yang dipakai oleh Kitty Diaz semasa kejadian telah pun dimasukkan ke dalam mesin basuh.

      Semua suspek kini ditahan dengan ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$5 juta (sekitar RM22 juta) setiap seorang. Hingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada mereka telah melantik peguam untuk mewakili mereka di mahkamah.

     Walaupun motif serangan masih belum didedahkan, Faz mendakwa kepada pihak polis bahawa mangsa datang ke rumahnya dengan niat untuk memulakan pergaduhan. Pihak polis memaklumkan bahawa siasatan berhubung kes ini masih giat dijalankan dan tidak menolak kemungkinan pertuduhan tambahan akan dikenakan terhadap suspek.

Catat Ulasan for "Tiga Wanita "Cantik" Ditahan Selepas Tikam Mangsa Hingga Mati"