Diperkosa, Berhenti Kerja dan Dipaksa Berkahwin: Titik Patah yang Mengubah Seorang Wanita Menjadi Pembunuh

     Pada tahun 2013 bertempat di negara China, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku yang melibatkan Luo Xiaoming, seorang graduan undang-undang yang berpendidikan tinggi. 

     Sebelum terjerumus ke dalam kancah jenayah, Luo Xiaoming dikenali sebagai seorang individu yang cemerlang dalam akademik. Dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang dan mendapatkan pekerjaan yang berprestij di sebuah syarikat milik kerajaan iaitu China Petroleum. Kejayaan ini amat bermakna bagi keluarganya memandangkan bapanya mengalami kecederaan kekal akibat kemalangan yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan. Ibunya, Li Huachong, seorang guru sekolah rendah meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada Xiaoming untuk mengubah nasib keluarga yakni satu tekanan yang sentiasa disulami dengan didikan tegas daripada ibunya. 


     Kehidupan Xiaoming mula berubah secara drastik sekitar Julai 2012 akibat diperkosa oleh majikan langsungnya sendiri. Majikan tersebut telah memaksa Xiaoming untuk melakukan hubungan sulit di bawah ugutan bahawa dia akan kehilangan pekerjaan jika enggan menuruti kehendaknya. Maruah Xiaoming semakin hancur apabila isteri kepada majikan tersebut menyerbu pejabat lalu memalukannya di hadapan rakan sekerja yang menyebabkan dia terpaksa berhenti kerja dalam keadaan terhina. Kehilangan pekerjaan ini meninggalkan kesan trauma yang amat berat dan menjadi titik permulaan kepada kehancuran emosi Xiaomin. 

    Setelah berhenti kerja, Xiaoming pulang ke kampung. Dia bagaimanapun memilih untuk tidak menceritakan perkara sebenar kepada ibunya. Di sinilah wujudnya fenomena toxic shame atau rasa malu yang toksik di mana Xiaoming mula berasa dirinya kotor dan tidak lagi bernilai sebagai manusia. Disebabkan tidak mampu meluahkan penderitaan yang dialami, ibunya terus mendesak dan menghina Xiaoming kerana menganggap dja telah gagal sebagai seorang anak yang berpendidikan tinggi tanpa mengetahui punca sebenar anaknya itu meninggalkan kerjaya elitnya. 

     Pada awal tahun 2013, ibu Xiaoming disahkan menghidap kanser payudara sebelum mereka berpindah ke Chengdu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan kewangan yang meruncing dan tekanan emosi yang berpanjangan di dalam bilik sewa yang sempit membawa kepada pertengkaran besar pada 19 Mac 2013. Apabila ibunya mendesak Xiaoming untuk pulang ke kampung dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali, Xiaoming berasa masa depannya musnah sepenuhnya. Maka dalam keadaan hilang pertimbangan, Xiaoming bertindak membunuh ibunya dengan menggunakan pisau dan memotong mayat tersebut kepada sembilan bahagian dengan niat untuk melupuskan bukti agar dia dapat terus menjaga bapanya yang lumpuh serta adiknya. 

    Walau bagaimanapun, perbuatan kejam tersebut terbongkar apabila pekerja di sebuah tapak pembinaan menemui beg bagasi yang mengandungi bahagian tubuh mangsa. Pihak polis dengan cepat mengenal pasti identiti mangsa melalui laporan orang hilang yang dibuat oleh anak lelaki mangsa, dan bukti forensik serta rakaman CCTV di lokasi penginapan mereka mengukuhkan lagi kes jenayah terhadap Xiaoming. 

     Setelah ditahan, Xiaoming bertindak secara tidak siuman semasa pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian. Dia beu ketawa dan mengeluarkan kata-kata tidak masuk akal seperti "Lihat, ibu saya sangat berlemak"(merujuk kepada mayatnya). Siasatan forensik dan psikiatri kemudian mendapati bahawa kelakuan tersebut hanyalah satu lakonan yang disusun rapi oleh Xiaoming untuk melepaskan diri daripada hukuman dengan berpura-pura tidak siuman.  

    Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa Xiaoming mempunyai tanggungjawab penuh terhadap jenayah tersebut dan tidak mengalami gangguan mental yang menghalang kewarasannya semasa kejadian. Pada Mac 2014, dia dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan dua tahun. Disebabkan rekod kelakuan yang baik sepanjang menjalani hukuman, hukuman tersebut akhirnya diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.  


Catat Ulasan for " Diperkosa, Berhenti Kerja dan Dipaksa Berkahwin: Titik Patah yang Mengubah Seorang Wanita Menjadi Pembunuh"