Obses Sejak Tahun 2017, Lelaki Rogol dan Bunuh Adik Ipar

AMERIKA SYARIKAT - Seorang guru muzik di Long Island didakwa telah melakukan serangan seksual dan mencekik adik iparnya sendiri hingga mati. Kejadian kejam itu dikatakan berlaku ketika isteri suspek tiada di rumah kerana menghadiri majlis keraian bujang (bachelorette party).
Menurut pihak polis dan pendakwa raya, suspek yang dikenali sebagai Joseph Horner, 27 tahun telah membunuh mangsa, Victoria Castle, 25 tahun di kediaman mereka di North Oak Street, North Massapequa. Kejadian itu terbongkar selepas suspek sendiri menghubungi talian kecemasan kira-kira jam 8:45 pagi Isnin lalu untuk menyerah diri.
Berdasarkan maklumat Pejabat Peguam Daerah Nassau, Horner merupakan seorang guru muzik di Daerah Sekolah Oceanside. Dia tinggal di unit tingkat atas rumah keluarga itu bersama isterinya manakala mangsa yang merupakan pelajar PhD di Universiti Stony Brook menetap di unit tingkat bawah.

Siasatan pihak pendakwa raya mendedahkan bahawa Horner telah menyimpan perasaan ghairah terhadap adik iparnya itu sejak tahun 2017. Mengambil kesempatan atas ketiadaan isterinya yang keluar ke bandar, suspek dikatakan telah mengatur rancangan jahat dengan meminta bantuan mangsa untuk memindahkan sebuah piano. Sebaik sahaja mangsa datang membantu, suspek bertindak menyerang mangsa dari belakang dengan mencekiknya sehingga tidak sedarkan diri sebelum merogol mangsa.
Sejurus selepas serangan kejam tersebut, Horner menghubungi pihak berkuasa dan mengaku melakukan perbuatan tersebut sebaik sahaja anggota polis tiba di lokasi kejadian. Mangsa sempat dikejarkan ke hospital tempatan oleh pasukan kecemasan. Walau bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia kurang daripada sejam selepas panggilan kecemasan dibuat.

Susulan kejadian itu, Horner telah didakwa atas pertuduhan membunuh tahap kedua dan kini ditahan tanpa jaminan. Dalam perbicaraan awal, suspek mengaku tidak bersalah. Pihak sekolah juga telah mengarahkan Horner bercuti daripada tugasnya sebagai guru muzik buat sementara waktu.
Peguam bela suspek, Gregory Grizopoulos dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai amat serius dan membimbangkan terutamanya apabila ia bercanggah dengan reputasi suspek yang dikenali sebagai seorang guru yang dihormati oleh pelajar serta rakan sekerja. Dia menambah bahawa keluarga suspek berasa amat terkesan dengan kehilangan Victoria serta dakwaan berat yang dilemparkan terhadap anak mereka, dan pihak peguam akan terus meneliti segala bukti yang dikemukakan sepanjang proses perbicaraan.
Catat Ulasan for "Obses Sejak Tahun 2017, Lelaki Rogol dan Bunuh Adik Ipar "