Kisah Penderaan Kejam Yuvita Tri Rezeki

Baru-baru ini, tular tentang kes seorang wanita bernama Yuvita Tri Rezeki (29 tahun) di wilayah Bandung, Jawa Barat yang menjadi mangsa penyeksaan fizikal kejam oleh kekasihnya sendiri, Taufik Hidayat (30 tahun), seorang pengutip hutang.
Kisah ini bermula pada tahun 2023 apabila Yuvita dan Taufik berkenalan di sebuah acara konsert muzik di kawasan Tritan Point, Bandung. Pada awalnya, hubungan mereka kelihatan normal. Taufik bahkan sempat diperkenalkan kepada keluarga Yuvita. Namun sifat manipulatif suspek mula terserlah apabila dia menunjukkan rasa cemburu buta terhadap ketua tempat kerja Yuvita. Akibat tekanan dan ugutan berterusan, Yuvita terpaksa meletakkan jawatan. Tidak lama selepas itu, Yuvita dilaporkan hilang tanpa jejak. Keluarga mangsa telah berusaha mencarinya selama tiga bulan termasuk menjejakinya di tempat kerja lama sebelum menularkan kes kehilangannya di Instagram.

Pencarian keluarga itu bagaimanapun terhenti apabila mereka menerima mesej WhatsApp dari nombor Yuvita. Mesej yang dipenuhi kata-kata kesat itu mendakwa dia sedang bekerja di Jakarta dan meminta keluarganya berhenti mencarinya. Tanpa disedari, mesej tersebut dipercayai dihantar oleh suspek bagi mengelirukan keluarga mangsa hingga memaksa mereka memadam hantaran di media sosial dan hanya mampu menunggu kepulangannya.
Tiga tahun berlalu sejak awal perkenalan mereka, mimpi ngeri keluarga mangsa terjawab pada 10 Jun 2026. Seorang individu yang tidak dikenali telah menghantar mesej kepada keluarga Yuvita yang memaklumkan bahawa mangsa berada di hospital akibat kemalangan. Setibanya bapa mangsa di hospital, dia telah jatuh pengsan melihat keadaan fizikal anaknya yang sama sekali tidak menyerupai mangsa kemalangan jalan raya tetapi sebaliknya mangsa penyeksaan berat yang berpanjangan.

Keadaan Yuvita amat kritikal dan menyayat hati. Seluruh tubuhnya dipenuhi parut luka termasuk kesan lecur akibat cucuhan rokok, hirisan senjata tajam dan tikaman menggunakan hujung gunting. Lebih mengerikan, kedua-dua matanya mengalami jangkitan teruk sehingga mangsa hilang deria penglihatan sepenuhnya manakala bibir atasnya hancur. Semasa pihak hospital mencukur rambut mangsa untuk rawatan perubatan, mereka menemui belatung di kawasan kepalanya akibat luka yang dibiarkan membusuk tanpa rawatan. Sepanjang tempoh dikurung, mangsa turut dipaksa mencacah tatu di tubuhnya dengan tulisan Yuvita Love Taufik dan wajah suspek.
Kemasukan Yuvita ke hospital didalangi oleh suspek sendiri yang meminta bantuan penjaga rumah sewanya di Cinunuk untuk membawa mangsa ke hospital dengan alasan palsu bahawa mangsa terjatuh di bilik air. Kelakuan suspek yang mencurigakan dan agresif di luar wad telah membangkitkan kemarahan keluarga yang terus membuat laporan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (Polda) Jawa Barat pada 12 Jun 2026 atas pertuduhan kurungan dan penganiayaan berat.

Siasatan pihak polis membawa kepada penemuan lokasi mangsa dikurung iaitu sebuah bilik sewa yang tersorok di dalam lorong sempit di Desa Cinunuk, Kecamatan Cileunyi, Kabupaten Bandung. Pasangan tersebut dikesan menyewa di situ sejak 9 Mac 2026. Isteri kepada penjaga rumah sewa tersebut mengesahkan bahawa Yuvita tidak pernah dilihat keluar dari bilik dengan Taufik sering memberi alasan bahawa "isterinya" sedang sakit mata teruk. Selain penderitaan fizikal, Yuvita turut mengalami kerugian harta benda dianggarkan bernilai Rp 52 juta (sekitar RM 15 000). Sepanjang tempoh kurungan, Taufik telah merampas dan menjual motosikal, telefon bimbit serta menggunakan wang gaji mangsa untuk kepentingan peribadi.
Bermula 23 Jun 2026, Taufik Hidayat secara rasmi diisytiharkan sebagai individu dalam senarai Daftar Pencarian Orang (DPO). Kes ini mendapat liputan meluas dan mencetuskan kemarahan awam, hingga tokoh politik tempatan, Dedi Mulyadi menawarkan ganjaran sebanyak Rp 250 juta (sekitar RM 72 000) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat penangkapan suspek.

Siasatan mendapati suspek sangat licik dan sering berpindah-randah. Taufik yang berstatus duda dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kecurian, mabuk dan keganasan rumah tangga,akhirnya berjaya dikesan oleh pihak polis melalui transaksi perbelanjaan di wilayah Majalaya pada pagi 24 Jun 2026.
Walau bagaimanapun, penangkapan suspek di Perumahan Griya Pesona, Ciparay sebenarnya dipermudahkan melalui campur tangan bekas majikannya yang bernama Dadang Akyar Ismail. Akibat tertekan kerana wajahnya tular di seluruh Indonesia, Taufik menghubungi Dadang untuk meminta perlindungan. Dadang secara taktikal memujuk suspek untuk menyerah diri selain memberikan amaran bahawa dia berisiko mati dipukul orang awam atau ditembak polis jika terus melarikan diri. Proses penyerahan diri itu diselaraskan dengan teliti bersama anggota polis Polda Jabar.

Taufik Hidayat kini ditahan di sel pengasingan Polda Jawa Barat dengan pemantauan CCTV 24 jam. Pendedahan kes ini turut menarik beberapa wanita lain, termasuk bekas isteri dan bekas kekasih suspek untuk tampil memberi keterangan mendedahkan bahawa mereka juga pernah menjadi mangsa penculikan, keganasan dan eksploitasi oleh lelaki yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.
Proses keadilan kini bergantung sepenuhnya kepada ketegasan sistem perundangan untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang setimpal dengan kekejaman di luar batas kemanusiaan ini.
Catat Ulasan for "Kisah Penderaan Kejam Yuvita Tri Rezeki"