Kisah Pembunuhan Kejam Fita Suliati

     Pada awal Januari 2023 bertempat di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, Indonesia dikejutkan dengan satu kejadian pembunuhan kejam yang pada mulanya disangka sebagai tindakan bunuh diri seorang wanita muda, Fita Suliati. Fita yang baharu berusia 18 tahun ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tergantung di dalam bilik kediamannya di Dusun Pondok Komak, Desa Lantan, Kecamatan Batukliang Utara. Namun di sebalik laporan awal yang mendakwa mangsa membunuh diri, hasil siasatan pihak berkuasa mendedahkan satu konspirasi kejam yang melibatkan ahli keluarga terdekat mangsa sendiri.

     Latar belakang kehidupan mangsa bermula dengan perkenalan di media sosial pada tahun 2021 antara Fita dan suaminya, Muhammad Rizal. Walaupun jarak kediaman mereka agak jauh, hubungan itu menjadi intim dan membawa kepada keputusan untuk berkahwin pada usia yang masih sangat muda. Pernikahan mereka berlangsung secara rahsia memandangkan Fita tidak memenuhi syarat umur minimum untuk pendaftaran rasmi. Selepas berkahwin, Fita berpindah ke rumah keluarga suaminya. Meskipun jiran tetangga melihat pasangan ini sebagai pasangan yang harmonis hakikat di sebalik pintu rumah keluarga Rizal adalah jauh lebih suram.

      Punca sebenar kejadian ini mula terungkai apabila pihak polis menjalankan bedah siasat dan menemui kejanggalan yang ketara pada tubuh mangsa. Terdapat kesan kecederaan fizikal yang menunjukkan mangsa telah dikasari sebelum kematiannya sekali gus menggugurkan teori bahawa ia adalah kes bunuh diri. Siasatan mendalam akhirnya membawa kepada penahanan tiga individu utama iaitu suami mangsa, Muhammad Rizal, ibu mertua mangsa, Sehan dan abang ipar mangsa, Sarman. Mereka bukan sahaja pelaku malah kes ini telah dirancang dengan teliti sejak dua hari sebelum kejadian berlaku.

     Kronologi pembunuhan tersebut amat menyayat hati. Pada 3 Januari 2023, ketegangan tercetus apabila mangsa menolak permintaan suaminya untuk membancuh air kopi. Penolakan kecil itu telah menyebabkan Rizal berang dan bertindak ganas dengan memukul serta menolak mangsa sehingga terhantuk pada lantai. Melihat mangsa yang sudah lemah, Rizal bertindak mencekik isterinya sendiri. Lebih kejam lagi, Rizal turut meminta bantuan abangnya, Sarman untuk memegang kaki mangsa bagi memastikan mangsa tidak lagi bernafas. Sementara itu, ibunya iaitu Sehan bertindak menghulurkan tali nilon yang digunakan untuk menjerut leher mangsa. Setelah mangsa tidak bernyawa, mereka bertiga menggantung tubuh mangsa pada paku di pintu bilik bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan mereka kejadian tersebut sebagai bunuh diri.

    Motif pembunuhan ini didorong oleh sikap tidak puas hati yang mendalam terhadap mangsa. Para pelaku mendakwa bahawa Fita sering melawan dan tidak patuh kepada kehendak suami serta keluarga mertuanya. Walau bagaimanapun, kenyataan ini bercanggah dengan keterangan bapa mentua mangsa sendiri yang menyifatkan Fita sebagai menantu yang rajin dan sentiasa membantu menguruskan hal ehwal rumah tangga. Ketidakharmonian ini dipercayai berpunca daripada konflik keluarga yang berlarutan dan kurangnya kematangan emosi dalam menempuh alam rumah tangga terutamanya bagi pasangan yang terlibat dalam perkahwinan pada usia remaja.

    Kes ini akhirnya menemui titik noktah di mahkamah melalui proses perbicaraan yang telus. Mahkamah memutuskan bahawa Muhammad Rizal bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun manakala ibu mentua dan abang ipar mangsa masing-masing menerima hukuman penjara selama 8 tahun.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Fita Suliati"