Kisah Pembunuhan Kejam Bella Yudela

Pada bulan Disember 2025 bertempat di Kota Batam, Indonesia, seorang gadis berusia 21 tahun bernama Siska Bella atau lebih dikenali sebagai Bella Yudela telah dibunuh menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh teman lelakinya sendiri.
Bella yang berasal dari Desa Cahaya Negeri, Kecamatan Semendawai, Kabupaten Ogan Komering Ulu, Sumatera Selatan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang memiliki cita-cita tinggi untuk mengubah nasib keluarga di kampung. Kehadirannya di Batam sejak Ogos 2024 bermula dengan pekerjaan di sebuah kedai kosmetik sebelum dia beralih kerjaya ke sebuah restoran makanan segera di kawasan Penuin untuk menampung keperluan ekonomi keluarga serta membiayai persekolahan adik-adiknya.

Namun di sebalik semangat kerja keras yang ditunjukkan, kehidupan peribadi Bella mula berdepan dengan konflik selepas dia menjalin hubungan cinta dengan seorang rakan sekerja bernama Muhammad Tegar Pratama yang berusia 20 tahun. Tegar juga merupakan individu yang berasal dari daerah yang sama dengan Bella. Walaupun hubungan mereka pada awalnya kelihatan harmoni, semua itu mula retak akibat sifat cemburu buta yang menebal dalam diri Tegar. Rakan rapat Bella, Sisi sempat menyedari bahawa hubungan pasangan ini sering kali diwarnai dengan pertengkaran hebat dan kata-kata kesat walaupun Bella sering kali cuba menutup kebenaran tersebut dengan mendakwa bahawa semuanya berada dalam keadaan baik.

Kemuncak kepada episod malang ini berlaku pada dini hari Selasa, 16 Disember 2025. Menurut pengakuan pelaku selepas ditangkap, pertengkaran tercetus apabila Tegar berasa tersinggung dengan sindiran Bella yang merendah-rendahkan dirinya di samping rasa cemburu kerana mengesyaki Bella mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Disebabkan hilang pertimbangan, Tegar bertindak kejam dengan menjerut leher Bella menggunakan sehelai baju serta menyumbat mulut mangsa. Akibat daripada perbuatan tersebut, Bella meninggal dunia di dalam bilik sewanya. Tegar kemudian meninggalkan lokasi kejadian dengan hanya menutup tubuh kaku mangsa menggunakan selimut.
BKehilangan Bella hanya disedari oleh rakan sekerja selepas dia tidak hadir bekerja selama tiga hari berturut-turut. Pada petang Khamis, 18 Disember 2025, rakan-rakan Bella datang ke bilik sewa mangsa di Blok 6, Kelurahan Batu Selicin, Kecamatan Lubuk Baja untuk memeriksa keadaannya. Bau busuk sebaik sahaja pintu bilik dibuka telah merungkai misteri kehilangan mangsa. Pihak berkuasa daripada Unit Reskrim Polsek Lubuk Baja dan Polresta Barelang segera tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan membawa mayat Bella ke Hospital Bhayangkara Polda Kepri bagi proses autopsi yang mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat kehilangan pernafasan kerana jerutan pada leher. Bella selamat dikebumikan di kampung halamannya pada 21 Disember 2025.

Tindakan pantas pihak polis membuahkan hasil apabila Muhammad Tegar Pratama berjaya diberkas di wilayah Nagoya, Batam hanya dalam tempoh satu setengah jam selepas mayat Bella ditemui. Hasil soal siasat membawa kepada pengakuan penuh pelaku mengenai perbuatan kejamnya. Hingga setakat ini, hukuman bagi Muhammad Tegar Pratama kini telah ditukar kepada pertuduhan di bawah Pasal 340 KUHP mengenai pembunuhan terancang berikutan penemuan bukti baharu dalam siasatan polis yang menunjukkan bahawa pelaku melakukan persiapan awal. Dia kini berdepan dengan hukuman yang jauh lebih berat iaitu penjara seumur hidup atau hukuman mati .
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Bella Yudela"