Pembunuhan Dua Beradik Rusia Rungkai Misteri Kehilangan Tiga Sekeluarga

     THAILAND — Kes pembunuhan kejam dua beradik warga Rusia yang dilaporkan hilang sejak 26 Julai lalu akhirnya terjawab selepas polis berjaya menahan dua suspek utama di Sa Kaeo. Suspek yang ditahan dikenali sebagai Thana Kerdthong (43 tahun) seorang bekas banduan dan Thongchai Srinil (39 tahun). Berdasarkan pengakuan kedua-dua suspek, mereka dipandu arah ke sebuah kawasan hutan di tambon Huai Yai, daerah Bang Lamung, Chon Buri sebelum menemui mayat Diana Nazimova (22 tahun) dan adiknya, Roman Nazimov (17 tahun) yang ditanam bersama di dalam sebuah kubur sedalam satu meter.

     Menurut Pesuruhjaya Polis Wilayah 2, Pol Lt Gen Chatchai Surachetphong, motif pembunuhan dua beradik itu adalah semata-mata untuk mencuri motosikal milik mereka. Semasa ditemui, kedua-dua mangsa masih berpakaian lengkap tanpa dibalut. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa lelaki maut ditembak di kepala dan perut manakala kakaknya yang ditemui di bahagian atas menunjukkan kesan dicederakan secara fizikal. Pemeriksaan awal polis bagaimanapun mengesahkan tiada bukti berlaku serangan seksual terhadap mangsa wanita.

     Siasatan ke atas pembunuhan remaja warga asing itu kemudiannya membawa kepada penemuan yang lebih mengejutkan apabila Thana turut mengaku terlibat dalam satu lagi pembunuhan berantai. Berdasarkan maklumat suspek, polis menemui tiga lagi mayat yang ditanam di dalam satu liang yang sama di sebuah ladang kelapa yakni kira-kira dua kilometer dari lokasi pertama. Mayat-mayat tersebut disahkan sebagai sepasang suami isteri berusia 53 dan 50 tahun bersama anak perempuan mereka yang berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarga sejak dua bulan lalu.

     Modus operandi bagi pembunuhan keluarga tempatan itu bermula apabila suspek menyamar sebagai pegawai polis di rumah mangsa di Bang Lamung lalu menggari pasangan suami isteri berkenaan. Anak perempuan mereka yang baru pulang dari kedai serbaneka turut ditahan sebaik tiba di rumah. Semua mangsa kemudiannya dibawa ke lokasi lain sebelum ditembak mati dan ditanam atas motif samun. Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi suspek yang bersubahat iaitu Chatchanan Paen-aiam dan Atsadang Chuwong.

     Adik kepada mangsa wanita yang dikenali sebagai Tukta menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita kerana usaha pencarian mereka selama ini akhirnya berakhir dengan tragedi. Dia memberitahu bahawa kereta, motosikal dan barangan di rumah mangsa berada dalam keadaan bersepah tanpa sebarang kesan pergelutan. Mereka bahkan sekeluarga tidak pernah berhenti menghantar makanan kepada anjing peliharaan serta membuat laporan polis. Menurut Tukta, jika polis tidak menyiasat kes pembunuhan dua beradik Rusia itu, nasib adik dan ahli keluarganya mungkin tidak akan diketahui sampai bila-bila.

    Kejadian yang menyayat hati ini mendapat perhatian serius pentadbiran negara hingga Perdana Menteri Anutin Charnvirakul membatalkan acara rasminya di Suphan Buri untuk bergegas ke Chon Buri bagi memantau siasatan. Beliau menegaskan bahawa tindakan kejam tersebut disifatkan seolah-olah membunuh seluruh negara kerana telah mencemarkan reputasi Thailand dan merosakkan keyakinan awam. Pihak polis kini masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengesahkan kenyataan Thana serta menguji kemungkinan suspek terlibat dalam kes jenayah lain.


Catat Ulasan for "Pembunuhan Dua Beradik Rusia Rungkai Misteri Kehilangan Tiga Sekeluarga"