Kisah Aneh Kehilangan Keluarga Philips

      Segalanya bermula pada September 2021 di perkampungan luar bandar Marokopa, di pesisir barat North Island, New Zealand. Tom Phillips, seorang bapa yang memegang hak penjagaan tiga anaknya iaitu Jada, Maverick dan Ember telah dilaporkan hilang bersama anak-anak tersebut. Kebimbangan memuncak apabila trak pikap milik Tom ditemui terbiar di tepi pantai Karirahu dalam keadaan hampir tenggelam dibadai ombak dengan kunci kenderaan diletakkan di bawah tikar lantai pemandu.

      Pihak polis, pasukan penyelamat serta penduduk setempat melancarkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran kerana dikhuatiri mangsa telah dihanyutkan oleh ombak besar yang terkenal di kawasan pesisir pantai tersebut. Namun selepas hampir tiga minggu operasi berjalan tanpa sebarang petunjuk, keluarga itu secara tiba-tiba muncul semula di ladang keluarga mereka pada 30 September 2021 dengan Tom memaklumkan bahawa mereka hanya pergi berkhemah di dalam hutan untuk menenangkan fikiran.

      Meskipun terselamat daripada tragedi awal, Tom telah didakwa oleh pihak polis kerana sengaja mencetuskan pembaziran sumber pihak berkuasa. Di tengah-tengah pertikaian hak penjagaan yang semakin tegang bersama bekas isterinya, Cat (ibu kepada kanak-kanak tersebut), Tom gagal menghadirkan diri ke perbicaraan mahkamah pada Januari 2022. Sia sebaliknya memilih untuk membawa anak-anaknya melarikan diri sekali lagi ke dalam hutan tebal di mana kali ini dengan lebih terancang bagi mengelakkan dikesan.

     Selama lebih empat tahun, Tom dan anak-anaknya hidup sebagai buruan pihak polis dengan berpindah randah dari satu kem tersembunyi ke kem yang lain di kawasan belukar serta pergunungan New Zealand yang sukar ditembusi. Walaupun pihak berkuasa melancarkan pelbagai operasi memburu, Tom yang mempunyai kemahiran hidup (bushcraft) yang tinggi dan mengenali selok-belok bentuk muka bumi tempatan berjaya memperdaya pihak polis. Malah, siasatan mendapati Tom dipercayai mendapat bantuan sulit daripada pihak tertentu di luar bandar yang menyalurkan bekalan makanan serta keperluan asas. Dalam tempoh pelarian itu juga, keselamatan anak-anaknya terabai daripada sistem pendidikan formal manakala kesihatan mereka bergantung sepenuhnya kepada persekitaran hutan. Keadaan bertambah buruk apabila Tom dan anak-anaknya dikaitkan dengan beberapa siri jenayah terdesak seperti cubaan memecah masuk premis perniagaan tempatan dan rompakan bersenjata di sebuah bank.

      Operasi memburu yang berlarutan bertahun-tahun akhirnya sampai ke penamatnya pada awal pagi September 2025. Pihak polis yang mengekorinya bertindak menahan Tom selepas cubaan memecah masuk sebuah kedai bekalan dikesan. Ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama anaknya dipintas menggunakan pancang jalan (spikes), Tom bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah anggota polis menggunakan senjata api.

      Semasa dalam insiden berbalas tembakan tersebut, Tom Phillips telah ditembak mati di tempat kejadian manakala seorang anggota polis cedera parah di bahagian kepala. Anak sulungnya, Jada yang bersama Tom ketika itu berjaya melarikan diri ke dalam hutan sebelum ditemui polis. Penahanan Jada akhirnya membawa pihak berkuasa kepada lokasi dua adiknya yang ditinggalkan di sebuah khemah terpencil.

       Ketiga-tiga anak Tom kini berada di bawah perlindungan agensi kebajikan kanak-kanak kerajaan bagi memulihkan trauma yang dialami. Walaupun kes ini telah menutup tirainya dari segi fizikal, ketegangan dan misteri masih menyelubunginya berikutan tindakan mahkamah meluluskan perintah injunksi yang menyekat pihak media daripada melaporkan butiran sensitif tertentu demi melindungi privasi kanak-kanak terbabit.

Catat Ulasan for "Kisah Aneh Kehilangan Keluarga Philips"