Kisah Kejatuhan Pelakon Masahiro Higashide


      Perjalanan hidup Masahiro Higashide merupakan salah satu kisah kejatuhan dalam industri hiburan Jepun. Lahir pada 1 Februari 1988 di Saitama, Higashide dikurniakan kelebihan fizikal yang ketara dengan ketinggian 189 sentimeter serta berwajah tampan. Kerjayanya bermula di pentas peragaan fesyen antarabangsa seperti Paris Fashion Week sebelum dia membuat peralihan cemerlang ke bidang lakonan pada tahun 2012 melalui filem The Kirishima Thing. Kejayaan awal itu membuahkan hasil apabila Higashide merangkul anugerah Pelakon Baharu Terbaik di Japan Academy Film Price yang seterusnya membuka laluan luas kepada pelbagai projek drama berskala besar termasuk kemuncak popularitinya menerusi siri drama pagi bersiri Gochisousan di stesen penyiaran NHK pada tahun 2013.

      Titik balik dalam kehidupan peribadi Higashide bermula di lokasi penggambaran Gochisousan di mana dia berkenalan rapat dengan aktres Anne Watanabe, anak kepada aktor legenda Ken Watanabe. Hubungan profesional tersebut bertukar menjadi ikatan cinta yang membawa kepada perkahwinan tradisional Shinto di Tokyo pada Oktober 2015. Pasangan ini segera diangkat sebagai pasangan emas dalam industri hiburan Jepun terutama selepas dikurniakan tiga orang cahaya mata. Reputasi bersih sebagai suami idaman dan bapa penyayang melonjakkan nilai komersial Higashide sekali gus menjadikannya wajah kepada pelbagai jenama terkemuka nasional dari produk rumah tangga hingga automotif. Namun di sebalik imej sempurna yang dipaparkan kepada umum, satu krisis besar sedang menunggu masa untuk meruntuhkan kerjaya dan kehidupannya.

      Pada Januari 2020, majalah penyiasatan Shukan Bunshun mendedahkan skandal peribadi menggemparkan Jepun yang memaparkan bahawa Higashide telah menjalinkan hubungan sulit selama tiga tahun dengan aktres muda Erika Karata. Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan mendalam peminat kerana hubungan itu bermula ketika Erika masih di bawah umur mengikut undang-undang ketika itu dan dilakukan sewaktu Anne sedang sarat mengandung anak ketiga mereka. Dalam budaya sosial Jepun yang sangat mementingkan integriti moral dan akauntabiliti awam, skandal ini dipandang sebagai pengkhianatan serius. Disebabkan itu, kontrak penajaan bernilai jutaan yen dibatalkan serta-merta yang meninggalkan beban hutang penalti kewangan dianggarkan mencecah ratusan juta yen. Sidang media permohonan maaf yang dikendalikannya gagal meredakan keadaan, malah memperburuk imejnya di mata orang ramai. Anne Watanabe akhirnya memfailkan penceraian pada Ogos 2020 manakala agensi pengurusannya memutuskan hubungan kerja secara rasmi pada awal tahun 2022 akibat pelanggaran disiplin berulang.

      Menghadapi tekanan sosial yang melampau, kecaman media dan kebankrapan kerjaya di bandar raya Tokyo, Higashide mengambil keputusan radikal dengan menyingkirkan diri sepenuhnya daripada dunia selebriti. Dia berpindah ke kawasan pergunungan terpencil di pedalaman Jepun dan mendiami sebuah pondok kayu tua tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik moden atau saluran paip air bersih. Di tempat pengasingan ini, Higashide menjalani rutin hidup yang sangat ekstrem, membakar kayu api untuk menghangatkan diri, mengangkut air sungai serta mempelajari kemahiran berburu tradisional bagi menyara diri. Perubahan drastik ini dianggap sebagai satu bentuk meditasi hidup untuk meredakan beban rasa bersalah dan tekanan mental di alam liar yang tenang tanpa gangguan lensa media.


      Transformasi kehidupan Higashide di hutan akhirnya menarik perhatian dunia perfileman apabila dokumentari berjudul Will diterbitkan pada tahun 2024 yang memaparkan kecekapannya bertahan hidup dan realiti penyesalannya. Dokumentari tersebut sedikit sebanyak mengubah persepsi sebahagian peminat, membuka ruang bagi pengaktifan semula kerjaya seninya dalam bidang filem bebas. Memasuki tahun 2025, Higashide memulakan babak baharu apabila dia mendirikan rumah tangga dengan bekas aktres Karin Matsumoto yang turut memilih untuk menetap bersamanya di kawasan pergunungan tersebut

Catat Ulasan for "Kisah Kejatuhan Pelakon Masahiro Higashide "